Berita

‘UMNO dan budaya samseng tak dapat dipisahkan’

KUALA LUMPUR, 13 JUN: Tindakan pemimpin UMNO mempertahankan kelakuan sekumpulan lelaki yang menyerang dan mengherdik pasukan Ahli Parlimen Kluang, Liew Chin Tong ketika mengedarkan kurma di Bazar Ramadan dekat Kluang beberapa hari lepas terus mendapat kecaman.

Ahli Jawatankuasa DAP Selangor, Edry Faizal berkata, tindakan Ahli Parlimen Muar, Razali Ibrahim dan Ketua Bahagian UMNO Kluang, Md Jais Sarday mempertahankan tindakan samseng itu seolah mengambarkan UMNO sebagai dalang di sebalik insiden berkenaan.

“Saya ingin mengajak warga Malaysia merenung sejenak, perhatikan setiap insiden samseng politik, pasti ada kaitannya dengan UMNO. Bukan sekali dua samseng-samseng politik UMNO datang ke ibu pejabat parti lain dan membuat huru-hara dan merosakkan harta benda.

“Ada yang pernah mengugut untuk membakar bangunan DAP dan sehingga hari ini kita masih tidak tahu ke mana penghujungnya siasatan polis terhadap mereka.

“Amat membimbangkan apabila gambaran umum yang kita warga Malaysia sering dapat adalah mereka itu kebal undang-undang dan semakin membiak banyak,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Malah, menurut Edry yang juga Ahli Majlis di Majlis Perbandaran Selayang (MPS) tindakan kedua-dua pemimpin UMNO berkenaan mempertahankan budaya samseng parti Melayu itu dibimbangi akan turut menyuburkan budaya buli dalam kalangan masyarakat di negara ini.

“Pemimpin UMNO seperti Razali Ibrahim dan Md Jais Sarday boleh mencipta pelbagai alasan untuk menghalalkan perbuatan samseng itu. Sehingga kita warga Malaysia cuba dibodohkan dengan alasan seperti pemberian kurma percuma akan menjejaskan perniagaan kurma.

“Namun hakikatnya mereka cuma mahu mempertahankan kesamsengan dan tabiat membuli mereka.

“Bukankah suspek buli di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) menggunakan alasan pelik bahawa perbuatan buli mereka itu bertujuan memaksa mangsa mengaku kesalahan seperti yang diberitahu oleh bomoh?

“UMNO dan buli berpisah tiada. Sekarang terpulang kepada kita warga yang waras, apakah mahu bersama mereka UMNO sang pembuli, atau kita mahu bersama-sama mereka yang berusaha membina Malaysia yang aman baik di dalam masyarakat mahupun politik,” ujarnya. – Roketkini.com