Berita

Bonus Raya: Perak harus contohi P. Pinang, Selangor

IPOH, 14 JUN: Kerajaan negeri Perak disaran mencontohi kerajaan negeri Selangor dan Pulau Pinang yang ditadbir Pakatan Harapan dalam pemberian bonus raya kepada penjawat awam, kata Ahli Parlimen Taiping, Nga Kor Ming.

Memandangkan rakyat dibebankan dengan pelbagai jenis cukai, katanya, insentif seumpama itu sedikit sebanyak dapat meringankan beban mereka dalam menyediakan kelengkapan sebelum tibanya Hari Raya Aidilfitri akan datang.

Sehubungan itu, beliau mengucapkan tahniah kepada kerajaan negeri Selangor dan Pulau Pinang kerana masing-masing mampu memberikan bonus raya dua bulan dan 0.75 bulan atau minima RM1,000 kepada penjawat awam.

Beliau berkata demikian selepas melawat keluarga miskin di Kampung Pokok Assam dan menyampaikan bantuan kepada pesakit buah pinggang Encik Ismail dan isterinya, Puan Maimunah yang merupakan pekerja kontraktor majlis perbandaran.

Dalam pada itu, beliau melahirkan rasa kesal dengan kerajaan negeri Perak di bawah Barisan Nasional (BN) yang gagal mentadbir dengan baik sehingga menjadikan negeri tersebut kedua termiskin di negara ini.

“Malahan, lebih 81 peratus pendapatan purata keluarga dalam negeri ini adalah kurang dari paras purata kebangsaan,” katanya yang juga Pengerusi DAP Perak dalam kenyataan hari ini.

“Jabatan Statistik Jabatan Perdana Menteri mengesahkan Perak kini mempunyai jumlah keluarga berpendapatan rendah yang paling ramai di seluruh negara, di mana 122,000 keluarga mendapat pendapatan bulanan kurang daripada RM2,380.00.”

Katanya, ia jauh berbeza dengan kerajaan negeri Pulau Pinang yang diterajui DAP apabila berjaya meningkatkan sebanyak dua kali ganda rizab negeri iaitu berjumlah RM1.6 bilion sejak mengambil alih pentadbiran pada 2008.

“Sementara itu, Selangor mempunyai rizab hampir RM4 billion, satu peningkatan lebih enam kali ganda, kedua-duanya boleh disifatkan sebagai pencapaian yang amat cemerlang,” ujarnya yang juga Penolong Bendahari DAP Kebangsaan.

Malah, katanya lagi, Pulau Pinang adalah negeri yang mempunyai hutang terendah selepas berjaya melangsaikan 90 peratus hutang kepada kerajaan Persekutuan yang ditinggalkan BN sebanyak RM600 juta ketika memerintah sebelum 2008. – Roketkini.com