Berita

Insiden bazar: Pemimpin UMNO digesa minta maaf ekoran kenyataan fitnah

KLUANG, 14 JUN: Dua pemimpin UMNO yang mempertahankan tindakan samseng sekumpulan lelaki mengasari dan mengherdik Ahli Parlimen Kluang, Liew Chin Tong di Bazar Ramadan dekat sini tempoh hari digesa supaya memohon maaf kerana menyebarkan fitnah.

Ahli Parlimen Muar, Datuk Razali Ibrahim dan Adun Mahkota, Datuk Md Jais Sarday seperti dilaporkan media mendakwa kononnya DAP meminta agar bazar di mana insiden berkenaan berlaku dipindahkan ke kawasan lain pada 2007 sehingga membangkitkan kemarahan peniaga.

Bagaimanapun, Chin Tong dalam kenyataan balasnya menafikannya fitnah tersebut dan mendakwa parti komponen Barisan Nasional (BN), MCA sebagai dalang di sebalik cadangan perpindahan tersebut.

Beliau yang juga Pengarah Pendidikan Politik DAP Kebangsaan berkata, tidak mungkin DAP boleh mencadangkan pemindahan tersebut memandangkan parti tidak mempunyai kerusi di daerah berkenaan sebelum Pilihan Raya Umum ke-12 pada 2008

Pengerusi MCA Kluang, Gan Ping Sieu – yang merupakan Adun Mengkibol ketika isu perpindahan itu dibangkitkan – semalam mengesahkan bahawa ada menyuarakan kebimbangan peniaga mengenai lokasi bazar tersebut dan mencari alternatif lain pada 2007.

Penolong Setiausaha DAP Johor, Sheikh Omar Ali berkata, kenyataan Ping Sieu itu sekaligus telah membuktikan bahawa Jais dan Razak berbohong mengenai dakwaannya terhadap DAP dan Chin Tong.

“Perkara ini sangat mendukacitakan. Saya ingin bertanya kepada Jais dan Razali; di manakah letaknya kredibiliti anda sebagai seorang pemimpin politik dan masyarakat? Anda sanggup memfitnah, menyebarkan pembohongan. Di mana maruah anda?

“Pemimpin yang sanggup berbohong dan memfitnah tidak wajar sama sekali memegang amanah kepimpinan. Lebih baik mereka letak jawatan sahaja,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau yang juga pembantu khas Chin Tong justeru menggesa Jais dan Razali memohon maaf secara terbuka ekoran fitnah yang dilemparkan mereka terhadap DAP dan pemimpinnya.

“Bahkan, Jais dan Razali juga perlu minta maaf dengan rakyat. Tindakan kedua-dua pemimpin UMNO ini hakikatnya telah memalukan imej pekerti orang Melayu, Islam dan keseluruhan rakyat Malaysia umumnya.

“Mereka juga seolah-olah dengan mudahnya merendah-rendahkan kebijaksanaan rakyat dalam menilai perkara yang sebenar,” ujarnya yang turut berada di lokasi kejadian semasa insiden kekasaran itu berlaku.

Dalam insiden sekitar jam 6.45 petang Sabtu lepas, sekumpulan lelaki yang bertindak samseng dan dipercayai penyokong UMNO menghalau dan memaki hamun rombongan Pakatan Harapan yang mengedarkan kurma kepada pengunjung dan peniaga bazar.

Ahli Parlimen Kluang, Liew Chin Tong turut dikasari kumpulan tersebut sehingga kaca matanya terjatuh. – Roketkini.com