Berita

Bayaran surcaj air: PBAPP tempelak dakwaan Pemuda UMNO Pulau Pinang

GEORGE TOWN, 16 JUN: Dakwan tidak berasas Ketua Pemuda UMNO Pulau Pinang yang dilapor laman web parti itu 13 Jun lalu kononnya hasil surcaj air dikreditkan ke Pejabat Ketua Menteri adalah tidak benar sama sekali.

Pengurus Besar Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP), Datuk Ir. Jaseni Maidinsa menegaskan, dakwaan pembangkang itu tidak benar kerana semua hasil surcaj air dikreditkan ke akaun PBAPP sahaja.

“Saya nak sahkan bahawa semua tuduhan ini adalah tidak benar, dan semua hasil surcaj air dikreditkan ke akaun PBAPP sahaja,” dedahnya dalam sidang media di Komtar hari ini.

Turut hadir dalam sidang media tersebut ialah Ketua Menteri, Lim Guan Eng dan beberapa Exco Kerajaan Negeri.

Menurut Guan Eng, tuduhan yang dibuat Pemuda UMNO Pulau Pinang itu merupakan fitnah jahat untuk memburuk-burukkan peribadi Ketua Pegawai Eksekutif PBAPP.

Beliau menegaskan, adalah mustahil pejabatnya menerima kredit daripada PBAPP memandangkan agensi tersebut disenaraikan dalam Bursa Saham Malaysia dan terikat dengan birokrasi kewangan yang ketat. – Roketkini.com