Berita

DAP sumbang baja kepada 240 keluarga peneroka FELDA

KULAI, 15 JUN: 240 keluarga peneroka di empat penempatan FELDA di Johor menerima sumbangan dua guni baja organik yang masing-masing seberat 80 kilogram setiap keluarga dalam satu program skim bantuan baja yang dianjurkan Ahli Parlimen Kulai, Teo Nie Ching.

Inisiatif berkenaan, kata Nie Ching, adalah untuk membantu petani dan pekebun kecil bagi meningkat kualiti dan hasil produktiviti tanaman mereka, selain mempromosikan baja organik yang lebih berkualiti.

“Semoga sumbangan ini mampu meringankan beban para peneroka dan pekebun kecil yang dibelenggu dengan kerugian yang berterusan hasil kelemahan pentadbiran FELDA itu sendiri,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Selain itu, beliau berharap, program seumpama ini akan merapatkan jurang hubungan yang wujud antara peneroka FELDA dan pemimpin parti pembangkang sejak sekian lama ekoran kesukaran untuk mengadakan program di kawasan mereka.

“Jika dahulu, sukar untuk membuat apa-apa program di kawasan FELDA. Namun pada ketika ini, suasana sudah berbeza.

“Saya percaya melalui program seperti ini mampu mendekatkan lagi warga FELDA untuk memilih Pakatan Harapan sebagai pemimpin mereka di Pilihan Raya Umum ke-14 yang akan datang,” katanya yang Penolong Setiausaha Publisiti DAP.

Antara kawasan yang terlibat adalah FELDA Taib Andak, FELDA Bukit Batu dan FELDA Bukit Permai. Program yang turut disertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) ini akan berakhir pada Sabtu depan di Kampung Murni Jaya. – Roketkini.com