Berita

‘P. Pinang bandar Kristian’: Senator DAP pula jadi sasaran fitnah portal pro-UMNO

KUALA LUMPUR, 15 JUN: Laman web berita palsu Menara.my meneruskan lagi serangan terhadap DAP dengan satu lagi fitnah jahat; kali ini terhadap Senator DAP, Dr Ariffin S.M Omar.

Laporan bertajuk ‘Apa Salahnya Pulau Pinang Jadi Bandar Kristian? – Dr Ariffin Omar’ cuba memfitnah beliau dengan memutarbelitkan kenyataan perbahasannya dalam Sidang Dewan Negara pada 19 April lalu.

Ia antara lain menyebut “Senator lantikan parti DAP, Senator Dr. Ariffin S.M Omar berpandangan bahawa tiada apa yang perlu dirisaukan jika Pulau Pinang menjadi Bandar Kristian”.

Dr Ariffin menafikan dakwaan jahat terbabit dan berkata berita itu adalah fitnah dan tidak benar sama sekali.

Fitnah tersebut katanya dibangkitkan dengan tujuan mengalihkan perhatian rakyat Malaysia daripada masalah sebenar yang membelenggu rakyat dan negara saat ini.

“Tak ada kerja lain. Ini sengaja timbulkan ketakutan. Mereka buat macam tu sebab tak mahu kita bahas mengenai isu rasuah, penyelewengan, isu pemimpin UMNO tidak amanah dan seumpamanya,” katanya.

Tegasnya, tindakan sesetengah pihak membangkitkan isu ‘Negara Kristian’ adalah usaha terdesak kerana perkara tersebut adalah mustahil memandangkan Islam adalah agama rasmi persekutuan yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Apa yang ditimbulkan itu mencerminkan satu pemikiran yang cetek. Benda tu kalau ada orang gila nak cadangkan pun, kena pinda perlembagaan,” katanya ketika dihubungi Roketkini.

Ariffin berkata celahan beliau terhadap ucapan Senator Tan Sri Datuk Seri Dr Ibrahim Abu Shah mengenai dakwaan ‘Negara Kristian’ adalah berunsur sindiran bagi menegaskan bahawa orang yang membangkitkan hal terbabit adalah berakal pendek.

Menurut beliau, cadangan tidak masuk akal seperti itu tidak mungkin akan dapat dilakukan kerana memerlukan pindaan terhadap perkara-perkara dasar Perlembagaan.

Berdasarkan hansard Dewan Negara  DN-19042017 mukasurat 56, laporan berniat jahat portal terbabit didapati tidak memberi gambaran sebenar perbahasan berkenaan.

Pembaca boleh merujuk kepada hansard  perbahasan Dewan Negara melalui pautan ini.

http://www.parlimen.gov.my/files/hindex/pdf/DN-19042017.pdf