Berita

DAP rakam takziah buat keluarga dua juruterbang TUDM

KUALA LUMPUR, 16 JUN: DAP merakamkan takziah kepada seluruh ahli keluarga dua juruterbang Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang terkorban dalam nahas pesawat jet Hawk 108 di Kemaman, Terengganu semalam.

“Saya selaku Setiausaha Agung parti merasa sedih atas pemergian dua wira negara ini, iaitu Allahyarham Mejar Mohd Hasri Zahari dan Allahyarham Mejar Yazmi Mohamed Yusof.

“Pengorbanan mereka untuk negara akan dikenang. Semoga roh mereka dicucuri rahmat,” kata Lim Guan Eng dalam kenyataan.

Dalam insiden tersebut, pesawat malang itu dilaporkan terhempas di kawasan hutan berpaya dan kedua-dua jasad mangsa ditemui pada jam 2.30 petang semalam.

Media melaporkan, kedua-dua mangsa yang ditemui sempat memakai payung terjun dan melenting keluar daripada pesawat.

Jenazah Allahyarham Mejar Yazmi Mohamed Yusof, 39, juruterbang pesawat Hawk 108 Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) kini selamat dikebumikan sekitar jam 11.45 pagi tadi di Tanah Perkuburan Islam Taman Tasik Titiwangsa.

Terdahulu, jenazah Mejar Mohd Hasri Zahari, 31, dikebumikan di Tanah Perkuburan Felda Lui Muda di Jempol kira-kira 10.30 pagi tadi. -Roketkini.com