Berita

Disambut meriah di lapangan terbang, Adun Pujut ikrar teruskan khidmat

MIRI, 17 JUN: Laungan “hidup rakyat, bangkit rakyat” bergema setibanya Dr. Ting Tiong Choon di Lapangan Terbang Miri hari ini selepas mendengar keputusan Mahkamah Tinggi Kuching yang memutuskan bahawa beliau kekal sebagai wakil rakyat kawasan Pujut.

Kira-kira 100 penyokong daripada pelbagai kaum dilihat berkumpul di lapangan terbang berkenaan sejak 4.00 petang dengan membawa pelbagai sepanduk dan bendera DAP.

Dr. Ting yang ketika ditemui pemberita berkata, keputusan mahkamah berkenaan membuktikan bahawa tindakan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak menyingkirkan beliau sebagai wakil rakyat adalah tidak sah dan tidak mengikut undang-undang.

“Apa yang hakim (Mahkamah Tinggi Kuching) kata tentang Speaker mendatangkan kesan yang buruk kepada dia, saya harap Speaker mengambil iktibar atas apa yang berlaku,” katanya.

Beliau turut melahirkan rasa syukur kerana dapat meneruskan semula tugasnya di Pujut.

Adun Pujut, Dr. Ting Tiong Choon

“Masih tinggal empat tahun lagi untuk penggal ini, saya akan terus bekerja kuat untuk memperjuangkan hak demokratik rakyat di Pujut,” ujarnya.

Pada 12 Mei lepas, kelayakan Dr. Ting sebagai wakil rakyat telah dibatalkan akibat usul yang ditentukan melalui pengundian menyaksikan sokongan majoriti 70 wakil rakyat manakala 10 membantah.

Ia ekoran isu kerakyatan Australia yang pernah diperolehinya sewaktu berhijrah ke negara itu sebelum ini.

Mahkamah Tinggi Kuching hari ini bagaimanapun mengekalkan status wakil rakyat Dr. Ting sekaligus membatalkan keputusan DUN berkenaan.

Sementara itu, Setiausaha DAP Sarawak, Alan Ling Sie Kiong berkata, parti pemerintah tidak berhak untuk sewenang-wenangnya menyingkirkan wakil rakyat yang dipilih secara sah oleh rakyat melalui usul di DUN.

“Biar saya tegaskan di sini bahawa tafsiran kami mengenai undang-undang adalah tepat. Mahkamah telah membuktikan bahawa Barisan Nasional (BN) salah,” ujarnya.

Beliau dalam pada itu turut menasihati BN agar menghormati kedaulatan undang-undang dan pilihan rakyat jika mereka benar-benar ingin menawan hati pengundi di Pujut.

Turut sama menyatakan solidariti adalah Ahli Parlimen Miri, Dr. Michael Teo Yu Keng.