Berita

Tiga tawaran Pemuda PH kukuhkan autonomi Sabah, Sarawak

KUALA LUMPUR, 20 JUN: Pemuda Pakatan Harapan (PH) hari ini menzahirkan komitmen untuk melaksanakan tiga tawaran khusus bagi mengukuhkan kedudukan Sabah dan Sarawak sebagai rakan kongsi setara dalam Persekutuan Malaysia sejajar Perjanjian Malaysia 1963.

‘Tawaran Baru’ itu adalah penting supaya Sabah dan Sarawak menikmati layanan yang adil dan tidak menjadi mangsa penindasan ekonomi kerajaan persekutuan BN tegas mereka dalam sidang media di Ibu Pejabat DAP sebentar tadi.

Tiga tawaran Pemuda PH adalah seperti berikut:

  • Rakan kongsi setara – kedudukan yang sepatutnya bagi Sabah dan Sarawak
  • Mengembalikan autonomi – melangkaui Perjanjian Malaysia 1963
  • Wawasan dan imaginasi yang lebih hebat buat Sabah dan Sarawak

Untuk mencapai taraf rakan kongsi setara, Pemuda PH komited supaya Sabah dan Sarawak diberi autonomi yang lebih untuk mencapai tujuan asal penubuhan Malaysia berbanding apa yang diperuntukan dalam Perjanjian Malaysia 1963.

“Pemuda Pakatan Harapan komited mencadangkan Tawaran Baru bagi Sabah dan Sarawak yang mengiktiraf status rakan konsi setara Sabah dan Sarawak di dalam Persekutuan, serta desentralisasi kuasa (penurunan kuasa kepada negeri/wilayah) dan hasil cukai,” kata Ketua DAPSY Kebangsaan, Wong Kah Woh ketika membacakan kenyataan bersama Pemuda PH.

Tawaran kedua ialah mengembalikan autonomi dua wilayah tersebut dengan perkongsian 50 peratus hasil cukai yang dikutip.

“Sebagai sebahagian daripada komitmen ke arah mengembalikan status rakan kongsi setara, Pemuda Pakatan Harapan menawarkan supaya autonomi bagi Sabah dan Sarawak dikembalikan dengan pengongsian 50 peratus hasil cukai yang dikutip daripada Sabah dan Sarawak kepada kedua-dua kerajaan dua wilayah itu.

“Ia adalah langkah penting sejajar semangat Perjanjian Malaysia 1963 dan bagi meningkatkan mutu kehidupan dan ekonomi kedua-dua wilayah khusunya bagi kawasan pedalaman dalam tempoh singkat,” jelas beliau.

Pemulihan status dan pengembalian autonomi kepada Sabah dan Sarawak katanya akan memberdayakan lagi beberapa sektor penting pentadbiran negeri seperti kesihatan, pendidikan, pengangkutan dan pempolisan komuniti dan kejiranan.

Bagi tawaran ketiga, Pemuda PH menzahirkan komitmen terhadap pendirian yang diambil Pakatan Rakyat sebelum ini yang menyokong Deklarasi Kuching 2012, Blueprint Transcending MA63 oleh DAP Sabah dan pelan ‘Beyond Autonomi’ dari PKR.

“Kami percaya bahawa pemimpin Pakatan Harapan emmpunyai waasan dan pandangan yang lebih hebat untuk Sabah dan Sarawak berbanding mereka di Barisan Nasional yang telah gagal sepanjang tempoh 50 tahun lalu,” jelas beliau.

Selain Ketua DAPSY Kebangsaan, Wong Kah Woh, hadir dalam sidang media itu ialah Ketua AMK Kebangsaan Nik Nazmi Ahmad; Naib Ketua Pemuda Amanah, Syazni Munir; Ketua ARMADA, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan wakil kepemimpinan pemuda PH kebangsaan, Sabah dan Sarawak.

Pemimpin Pemuda PH Sarawak, Paren Nyawi ketika ditemui Roketkini berkata rakyat khususnya golongan muda negeri itu perlu jelas dengan permainan sentimen kenegerian yang sering digunakan parti pemerintah.

“Mereka (PBB dan parti komponen BN Sarawak lain) sering menggunakan sentimen kenegerian kononnya ‘Semenanjung’ rompak Sarawak dan sebagainya. Tetapi kita perlu sedar bahawa mereka juga bernaung di bawah parti yang sama iaitu BN.

“Jadi mesej ini perlu kita sampaikan, beri kefahaman kepada rakyat Sarawak supaya tidak terperangkap dalam permainan politik kenegerian sebegini,” kata yang juga Pengerusi DAP Katibas, Parlimen Kapit.

Ketua AMK Kebangsaan, Nik Nazmi Ahmad menyeru seluruh golongan muda Sabah dan Sarawak turut sama melakukan perubahan dalam pilihan raya umum akan datang.

“Khususnya bagi pemuda Sabah dan Sarawak, mereka marah dengan keadaan ekonomi, peluang pekerjaan dan keadaan infrastruktur yang tidak sempurna.

“Mereka tidak merasakan Sabah dan Sarawak dijadikan sebagai rakan kongsi yang adil. Jadi, kita perlu sama-sama lakukan perubahan, bukan sahaja di peringkat DUN tetapi juga di peringkat Parlimen,” katanya yang juga Adun Seri Setia.

Naib Ketua Pemuda Amanah, Syazni Munir berkata, Pemuda PH mengorak langkah kehadapan dengan menawarkan pengembalian 50 peratus cukai kepada Sabah dan Sarawak.

Manakala Ketua ARMADA, Syed Sadiq menjelaskan bahawa Pemuda PH akan terus berusaha untuk mengetengahkan pelbagai isu yang menjadi kebimbangan rakyat Malaysia khususnya golongan muda.

“Dalam masa akan datang, Pemuda Pakatan Harapan akan membentangkan cadangan-cadangan dasar untuk Malaysia, Sabah dan Sarawak yang lebih baik,” katanya.

Cadangan-cadangan itu katanya diberi nama sebagai #HarapanAnakMuda . Ia antara lain ialah isu peluang pekerjaan, perumahan, pendapatan, reformasi pendidikan dan isu rasuah. –Roketkini.com