Berita

Gelagat Ketua Menteri makan dalam dulang curi tumpuan ramai

KEPALA BATAS, 21 JUN: Sederhana tetapi mesra. Itulah yang dapat dilihat dalam majlis berbuka puasa yang dihadiri Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng dekat sini semalam.

Majlis berbuka puasa yang dianjurkan oleh Pejabat Pegawai Penyelaras Khas Parlimen Kepala Batas, Lay Hock Peng menyediakan hampir 100 meja dihadiri pelbagai lapisan masyarakat berbilang kaum.

Apa yang mencuri tumpuan, Setiausaha Agung DAP itu tidak kekok duduk bersila menjamu selera beramai-ramai menggunakan tangan dalam juadah yang disediakan di atas dulang.

Terlebih dahulu, beliau juga beramah mesra dengan masyarakat setempat.

Suasana mesra sebegini membuktikan gambaran sebenar penerimaan masyarakat pelbagai kaum terhadap kepimpinan Pakatan Harapan (PH) khususnya di Pulau PInang.

Hampir semua Pegawai Penyelaras KADUN (PPK), barisan Ahli Majlis bagi Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP), wakil-wakil parti komponen Pakatan Harapan menyertai majlis tersebut.

Hadir sama ialah Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim dan Penolong Setiausaha DAP Wanita Kebangsaan, Young Syefura Othman (Rara).

Ketika menyampaikan ucapan, Guan Eng turut mengumumkan sebuah program iaitu pameran ‘Minions’ percuma sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri mulai Jumaat ini di Dewan Dato’ Haji Ahmad Badawi dekat Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) Bagan Dalam. -Roketkini.com