Berita

Pertahan Kelantan pun belum tentu, PAS mahu tawan lima negeri?

KEMAMAN, 29 JUN: Persoalan sama ada rakyat mampu menyelamatkan negara dari terus terjebak dalam kancah kehinaan akibat gejala kleptokrasi global penyelewengan mega 1MDB hanya mampu terjawab dalam pilihan raya umum ke-14 akan datang.

Namun, persoalan itu bertambah kritikal apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mendapat sokongan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang dilihat menentang segala usaha merungkai skandal terbesar itu.

Apa yang dikesalkan lagi, Hadi seolah-olah tidak dapat melihat sebarang masalah atau berasa jijik dengan skandal 1MDB yang telah memangsakan puluhan bilion dana awam kata Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang.

“Kini segalanya diserahkan kepada rakyat Malaysia untuk menyelamatkan negara ini dan mengembalikan maruah dan nama baik Malaysia,” kata beliau.

Kit Siang berkata demikian dalam ceramahnya dekat sini semalam sewaktu “Jelajah Desa Pantai Timur” sempena Hari Raya Aidilfitri ke Pahang, Terengganu dan Kelantan.

Hadi sebelum ini katanya diwar-warkan mahu supaya PAS menawan lima negeri dalam pilihan raya akan datang.

Namun Kit Siang optimis bahawa PRU-14 akan datang bukanlah mengenai percaturan PAS menawan lima negeri atau tidak tetapi adakah PAS mampu mempertahankan Kelantan yang ditadbirnya sejak tahun 1990.

“Adakah kepimpinan Hadi akan menyebabkan PAS tertewas dengan cara yang sama beliau kecundang di Terengganu pada 2004 setelah memenangi negeri itu pada pilihan raya 1999 atas faktor gelombang reformasi Anwar Ibrahim?” soalnya. –Roketkini.com