Berita

Pertindihan kuasa selia pengangkutan awam jejas golongan pekerja

KUALA LUMPUR, 29 JUN: Dilema pengangkutan awam negara ini terus menyelubungi pengusaha dan pengguna apabila wujud dua entiti yang mengawal selia perkhidmatan itu.

Situasi ini berlaku ekoran tugas mengawal selia perkhidmatan itu diserahkan kepada Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan bukannya di bawah seliaan Kementerian Pengangkutan.

Ahli Parlimen Kluang, Liew Chin Tong berkata adalah tidak masuk akal apabila Kementerian Pengangkutan tidak mempunyai kuasa terhadap operasi pengangkutan awam yang kini hanya tertumpu kepada pengangkutan udara, laut dan kenderaan persendirian.

“Rakyat Malaysia memerlukan seorang Menteri Pengangkutan sepenuh masa yang mampu mengawal keseluruhan skop perkhidmatan itu.

“Bukannya dengan menyerahkan tugasnya untuk diuruskan JPM,” katanya yang juga Pengarah Pendidikan DAP Kebangsaan dalam kenyataannya.

Keadaan ini jelasnya akan menyebabkan konflik apabila dua menteri mengeluarkan kenyataan bagi isu yang sama seperti yang berlaku terhadap Dego Ride.

“Apa yang berkesannya dengan lebih banyak birokrasi, apabila SPAD dan bukannya Kementerian Pengankutan menderaf undang-undang untuk mengawal selia perkhidmatan e-hailing (Uber/Grab), tetapi penguatkuasaan peraturan jalan raya pula dibuat oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) di bawah Kementerian Pengangkutan?” soalnya.

Jelas Chin Tong, Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) berada di bawah seliaan Menteri JPM Datuk Seri Nancy Shukri.

Beliau juga bertanggungjawab terhadap Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) Sarawak dan Sabah, begitu juga dengan Agensi Inovasi Malaysia, Malaysia Nuclear Power Corporation (MNPC) dan Malaysian Industry Government Group for High Technology (MIGHT).

Apa yang turut menarik perhatian kata Chin Tong ialah, Kementerian Pengangkutan tidak mempunyai wakil di dalam SPAD.

“Memandangkan Menteri Pengangkutan secara teknikalnya tidak mampu mempengaruhi keputusan SPAD walaupun terikat, siapakah pihak yang mempunyai kuasa muktamad untuk membuat keputusan berkaitan pengangkutan awam jika bukan Menteri Pengangkutan?” soalnya.

Tegasnya, pertindihan bidang kuasa Kementerian Pengangkutan hanya akan menyebabkan berlakunya kekeliruan dan ketidakcekapan pengurusan sistem pengangkutan awam.

Ia juga katanya tidak akan memberi manfaat kepada jutaan golongan pekerja dan pengguna yang bergantung dengan pengangkutan awam setiap hari. –Roketkini.com