Berita

Segerakan rundingan kerusi elak pertembungan banyak penjuru – DAP Sabah

SEMPORNA, 29 JUN: Setiausaha DAP Sabah, Chan Foong Hin berkata pembangkang perlu mempercepatkan rundingan agihan kerusi bagi mengelakkan pertembungan banyak penjuru dalam Pilihan Raya Umum ke-14 akan datang.

Pentembungan banyak penjuru katanya, hanya memberi kelebihan kepada Barisan Nasional (BN).

“Daripada kita berasa tidak senang hati, rundingan kerusi harus dipercepatkan antara kita kerana pilihan raya umum akan berlangsung tidak lama lagi,” katanya ketika menghadiri majlis rumah terbuka Presiden Parti Warisan Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal di sini semalam.

Chan dalam pada itu turut menafikan spekulasi yang timbul kononnya DAP mahu meletakkan calon di Parlimen Penampang dan menganggap spekulasi tersebut adalah tidak berasas.

Beliau dalam masa yang sama menegaskan bahawa semua kerusi yang dimenangi mana-mana parti pembangkang sebelum ini perlu dipertahankan oleh parti tersebut.

“Ini peraturan nombor satu dalam rundingan kerusi dan mesti dihormati. Sebarang spekulasi bahawa DAP cuba merebut kerusi parlimen Penampang yang dimenangi PKR sebelum ini adalah tidak berasas,” ujar Adun Sri Tanjong itu.

Hadir sama dalam majlis rumah terbuka itu ialah Ahli Parlimen Kota Kinabalu, Jimmy Wong; Ketua DAPSY Sabah, Vincent Fung; Penolong Setiausaha DAP Sabah, Tan Lee Fatt dan pemimpin DAP Tawau.

Pada Sabtu lalu, Pengerusi DAP Sabah Stephen Wong berkata DAP Sabah berharap agar pengagihan kerusi komponen parti-parti Pakatan Harapan (PH) dapat dimuktamadkan selewatnya pada penghujung Julai.

Ahli Parlimen Sandakan itu berkata, DAP Sabah telah mengenalpasti lapan kerusi Parlimen dan 20 kerusi DUN untuk ditandingi. –Roketkini.com