Berita

Gerakan cuba sabotaj usaha selesaikan masalah lalulintas Pulau Pinang

GEORGE TOWN, 30 JUN: Exco Kerajaan Negeri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow membidas cubaan parti Gerakan bagi menghalang projek pembinaan jalan dan terowong dasar laut di negeri itu.

Naib Presiden Gerakan Datuk Dr Dominic Lau dilaporkan sebagai berkata bahawa biro undang-undang partinya sedang mengkaji untuk memfailkan injunksi bagi menghalang projek tersebut daripada diteruskan.

Gerakan cuba mengaitkan projek tersebut dengan amalan rasuah dan salah guna kuasa dan dana awam, namun dinafikan sekeras-kerasnya oleh Kerajaan Negeri.

“Dakwaan ini telah dilaporkan dan disiasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia pada 2016 tanpa sebarang tindakan terhadap Kerajaan Negeri Pulau Pinang,” katanya Chow dalam kenyataan hari ini.

Menyifatkan dakwaan itu sebagai sabotaj terhadap usaha kerajaan negeri bagi menyediakan kemudahan yang lebih baik berbanding pentadbiran Gerakan sebelum ini, Chow berkata tindakan Gerakan itu juga dibuat kerana khuatir parti itu bakal kalah teruk jika projek tersebut dilaksanakan.

“Sebaik sahaja Laporan Penilaian Alam Sekitar untuk pembinaan jalan ini diperoleh beberapa bulan lagi, konsortium akan memulakan kerja-kerja pembinaan,” jelasnya yang juga Exco Kerajaan Negeri.

Dalam masa yang sama, Adun Padang Kota itu turut menjawab isu berhubung pembayaran yang dilakukan kerajaan negeri kepada syarikat konsesi walaupun kerja-kerja pembinaan belum bermula.

“Kerajaan Negeri Pulau Pinang telah pun memberikan penjelasan penuh bahawa bayaran itu dibuat untuk kerja-kerja termasuk kajian kebolehlaksanaan, reka bentuk akhir dan semua kajian berkaitan,” tegasnya. – Roketkini.com