Berita

Setelah dedah maklumat tajaan haji, 1MDB digesa dedah laporan kewangan lengkap

KUALA LUMPUR, 30 JUN: Sejak tahun 2011, seramai 5,711 jemaah telah ditaja menunaikan haji dengan perbelanjaan sebanyak RM56 juta melalui program khas Perdana Menteri -Yayasan 1MDB.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa program berkenaan Datuk Jailani Ngah, pada tahun ini pula seramai 1,100 jemaah ditawarkan menyertai program tersebut.

Namun, di sebalik pengumuman itu, timbul pula persoalan lain melibatkan syarikat terpalit skandal pengubahan wang antarabangsa itu.

“Jumlah hutang 1MDB boleh berada sekitar RM50 hingga RM55 bilion – yang mana RM56 juta yang digunakan 1MDB untuk menaja Jemaah haji ke Mekah sejak enam tahun lalu sejak 2011 berada di sekitar 0.01 peratus daripada jumlah keseluruhan hutang 1MDB.

“Jika 1MDB boleh mendedahkan perbelanjaan RM56 juta sejak enam tahun lalu menaja 5,711 jemaah haji ke Mekah, mengapa 1MDB tidak boleh mendedahkan laporan kewangannya sejak tiga tahun lalu?” soal Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang dalam kenyataannya.

Ini kerana ujarnya, kali terakhir akaun 1MDB diaudit dan diterbitkan ialah pada bulan Mac 2014.

Sejak tarikh itu sehingga sekarang, penyata kewangan syarikat sarat hutang tersebut masih menjadi misteri termasuk kepada menteri-menteri kabinet.

“Saya menyeru, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak supaya memikul tanggungjawab penuh sebagai individu, kerajaan dan perdana menteri terhadap skandal 1MDB dengan mendedahkan kepada orang awam perincian kewangan 1MDB hutang-hutang dan segala peruntukan yang dikeluarkan.

“Bukannya sekadar mendedahkan maklumat tertentu sahaja seperti penajaan menunaikan haji sebanyak RM56 juta sejak 2011,” katanya lagi. – Roketkini.com