Rencana

DAP bukan lagi musuh orang Melayu


Tweet saya yang ringkas diatas telah mendapat sambutan hangat. Ini mungkin didorong oleh sentimen dan semangat nasionalisme yang tidak memperhitungkan geo economic Power.

Atau mungkin juga kerana misguided nationalism seperti pandangan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Mustapha Mohamed.

Dari pandangan rasional, penanaman modal dari China atau kerjasama ekonomi Malaysia dengan Republik Rakyat China secara besar-besaran tidak seharusnya menimbulkan kebimbangan di kalangan rakyat.

Dari sejak awal kemerdekaan negara, rakyat terdidik untuk bersikap terbuka terhadap pasaran bebas, setiap orang bebas untuk berniaga dan tiada sekatan kepada kemasukan modal asing sebaliknya digalakan dengan pengawalan di bawah peraturan tempatan demi untuk kepentingan rakyat.

Malaysia dan Singapura telah jauh kehadapan dalam hal ini berbanding dengan negara-negara lain di Asia yang berpegang kepada dasar ekonomi sosialisme atau komunisme yang mencemburui penanaman modal asing. Malaysia melihat modal asing sebagai lonjakan ekonomi negara tetapi negara lain menganggap sebagai penindasan dan pemerasan terhadap rakyat untuk kepentingan kapitalis.

Tentunya kita tidak pernah terfikir negara Komunis China yang menjuarai dasar ekonomi tertutup yang diperjuangkan oleh partinya di Malaysia(PKM) dengan darah akhirnya menjadi kuasa ekonomi kedua terbesar di dunia yang bukan sahaja menakutkan Malaysia tetapi mencabar bapa kapitalis dunia Amerika Syarikat sendiri.

Rakyat Malaysia telah menerima baik penjajahan ekonomi Barat sejak merdeka tetapi kenapa takut pula kepada penjajahan ekonomi China?

Apakah sekiranya Tun Mahathir masih berkuasa sebagai Perdana Menteri beliau akan menyekat penanaman modal dari China sedangkan beliau sendiri pernah meyakinkan rakyat bahawa China tidak pernah berperang untuk menawan negara lain.

Ini berbanding dengan kuasa Barat yang berselindung disebalik kemanisan globalisasinya untuk mengembangkan tidak sahaja penguasaan ekonominya tetapi juga penjajahan politik dan tentera terutama keatas negara-negara Islam.

Faktor utama Masyarakat Melayu Malaysia lebih mencemburui dan membimbangi penjajahan ekonomi China ini oleh kerana Cina tempatan sendiri berada dihadapan dalam kemajuan ekonomi negara ini yang dianggap sebagai ancaman kepada bangsa.

Menghadapi cabaran ini berbagai perancangan diadakan untuk menebus maruah ekonomi Melayu termasuk dasar perlindungan seperti Hak Istimewa Orang Melayu yang aktif dan dinamik di bawah kepimpinan Tun Abdul Razak dengan Dasar Ekonomi Baru,FELDA dan diikuti dengan ASB,pengambilan ladang British menerusi pasaran terbuka dan sebagainya.

Umumnya orang Melayu tidak menyalahkan diri sendiri atas kemunduran mereka tetapi sebaliknya melihat kehadiran orang Cina sebagai penyebab kemunduran mereka sekalipun pada hakikatnya tanpa orang Cina, negara dan juga orang Melayu tidak akan mendapat faedah ekonomi yang boleh membantu kemajuan mereka sendiri.

Mahathir menyedari hakikat kejayaan orang Cina kerana sifat kerajinan dan keusahawanan mereka tetapi beliau sendiri tidak berani untuk menyeru orang Melayu supaya mencontohi Cina untuk kejayaan sebaliknya melancarkan dasar Pandang ke Timur iaitu pandang ke Jepun kerana tidak mahu menyinggong perasaan orang Melayu yang prejudis kepada orang Cina.

Najib tidak bagitu mengambil berat perasaan ini dan agresif membawa banyak penanaman modal dari China atau usaha sama dengan Negara China di kawasan sensitif yang dengan itu mudah menjadi suatu isu panas di kalangan Melayu walaupun penanaman modal China hanya 2% sahaja dibandingkan dengan keseluruhan modal asing di negara ini.

Dalam beberapa hal sikap pengasingan diri orang Cina tempatan dari aliran nasional atau aliran perdana dan mahu mengekalkan identiti Cina, juga tidak memesrakan orang Melayu dengan Cina tempatan.

Keadaan ini adalah berbanding dengan China Singapura yang dipaksakan oleh perdana menteri pertamanya Lee Kuan Yew untuk bersatu menerusi bahasa Inggeris dengan kaum-kaum lain dengan menutup institusi-institusi pengembangan kebudayaan China terutama sekolah China dan Universiti China.

Sekarang nasionalisme Singapura membangkitkan masalah yang sama dengan sikap orang Melayu di Malaysia terhadap kedatangan perkerja dari negara China di bawah dasar Singapura membawa perkerja asing untuk mengatasi masalah kekurangan tenaga kerja dan juga bagi mengatasi keruncingan kadar kelahiran rendah di kalangan rakyat Cina Singapura.

Singaporean Chinese mempersoalkan kesetiaan Cina dari China yang walaupun sebangsa tetapi tidak mempunyai nilai kebudayaan dan keperibadian yang sama dengan mereka, tidak dapat berbahasa Inggeris, tidak berdiplin dan melakukan kerja-kerja yang tidak sanggup dilakukan oleh Cina tempatan seperti berkerja di restoran Melayu atau India yang mereka anggap menjatuhkan maruah Cina Singapura.

Melayu Malaysia mempunyai asas kebimbangan yang lebih besar terhadap kedatangan Cina dari China kerana mereka ditakuti mudah menyerap dengan Cina tempatan yang masih kuat dengan kefahaman dan penghayatan kebudayaan China yang terbentuk dari sikap pengasingan diri menerusi sosio budaya; bahasa,persekolahan,politik dan ekonomi.

Orang Melayu bimbang perkongsian Proton Holding Berhad dengan pembuat kereta China, China’s Zhejiang Geely Holding Group akan membuka peluang pekerjaan kepada orang Cina dari China di Proton yang selama ini eksklusif kepada orang Melayu. Perkongsian ini mungkin membuka permintaan pasaran lebih besar kepada Proton yang tidak mungkin dapat dipenuhi dengan tenaga Melayu sahaja kecuali dengan membawa masuk pekerja dari China.

Demikianlah juga dalam pembinaan keretapi laju ke Pantai Timur dari Ibu Negara yang akan dibiayai oleh China dengan kos sebesar RM 55 billion.

Apakah cukup dengan tenaga tempatan sahaja sedangkan China boleh membekalkan sebanyak mana pun tenaga kerja yang diperlukan untuk menyiapkannya dalam jangka masa yang ditentukan. Apakah semua pekerja ini akan pulang atau menyerap masuk ke dalam masyarakat Malaysia?

Kebanyakan pendatang dari Cina adalah miskin walaupun China digembar gemburkan sudah maju dan kaya.Tidak benar anggapan PM Najib mereka adalah dari kalangan mewah yang tidak mahu menetap di negara ini.Ini pandangan yang terlalu elitis dan tidak berjejak dibumi nyata.

Lebih menggugat keyakinan rakyat kerana perkembangan ini berlaku dalam masa Malaysia tidak mempunyai barisan kepimpinan negara yang berwibawa dan bermaruah sebaliknya disyaki terlibat dengan berbagai penyalahgunaan kuasa.

Orang Melayu sekarang melihat UMNO sebagai menambah ancaman dan cabaran kepada mereka dibandingkan DAP yang semakin matang dalam melihat nilai-nilai politik yang diperlukan untuk kerjasama politik yang progresif, dinamik ,bersih dan cekap yang tidak lagi berasaskan politik perkauman dan sentimen keugamaan yang sempit.

Semakin ramai Orang Melayu yang melihat, memahami dan menghayati ancaman kepada nasionalisme Malaysia tidak lagi datang dari DAP yang mahu meMalaysiakan negara ini tetapi melihat UMNO yang mahu menChinakan Malaysia menerusi penjajahan ekonominya.

Disamping itu orang bukan Melayu melihat perubahan dasar sekularisme dan liberalisme UMNO sejak permuafakatan politik dengan Pas untuk bersama menguasai negara ini. Pindaan Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah atau Akta 355) menimbulkan prasangka buruk bukan Melayu terhadap matlamat UMNO yang telah dimaktubkan oleh kepimpinan awalnya Tunku Abdul Rahman, Tun Abdul Razak, Tun Islam dan lain-lain lagi.

Peguam-Peguam Islam yang terkemuka di negara ini juga bimbang pindaan ini akan membawa kepada pencerobohan terhadap prinsip-prinsip asal perlembagaan negara yang mahu membina suatu bangsa atas nasionalisme Malaysia yang menolak dan perbezaan hukuman kaum di Malaysia termasuk orang Islam sendiri yang menyemai perasaan ketidakadilan dari segi perlembagaan.Hukuman jenayah tidak seharusnya berbeza antara Melayu Islam dan bukan Islam.

UMNO telah sanggup untuk berkerjasama dengan PAS sebuah parti yang mempermainkan agama yang pernah bersubahat dengan DAP untuk menjatuhkan kerajaan Melayu UMNO bagi memenuhi nafsu serakah extresmisma agamanya dan sekarang menyusun strategi untuk menghancurkan UMNO dari dalam.

Anwar Ibrahim juga cuba melakukan ini tetapi kepimpinan UMNO yang bijak, berintegriti, berpengaruh, kuat, dihormati dan diyakini rakyat telah dapat mematahkannya tetapi PAS yang belum pun berada dalam kerajaan telah berjaya mempergunakan UMNO untuk menggugat kesucian Perlembagaan Negara menerusi Parlimen dengan mengambil kesempatan di atas kelemahan UMNO dan pucuk pimpinannya.

PAS bukanlah sebuah parti politik yang bodoh yang tidak menyedari hakikat bahawa Najib sedang bergantung di dahan rapuh. Penyokong-penyokong PAS di Terengganu yang membantah kerjasama dengan UMNO telah pun diyakinkan oleh Haji Hadi bahawa PAS boleh mencapai semua hasratnya untuk menegakkan negara Islam denga hanya bekerjasama dengan UMNO dan sekaranglah peluang keemasannya .

Orang Melayu tidak menolak penanaman modal dari China kerana kesesatan dari nasionalisme atau misguided nasionalism tetapi kerana kehilangan keyakinan mereka terhadap nasionalimse UMNO yang terpesong dari dasar asalnya dan juga dari Perlembagaan Negara . – Roketkini.com

*Zainudin Maidin (Zam) adalah bekas Ketua Pengarang Utusan Melayu dan bekas Menteri Penerangan. Tulisan ini dipetik dari blog Zamkata (http://zamkata.blogspot.my/2017/07/dap-bukan-lagi-musuh-melayu-akibat.html)