Berita

Setiausaha Akhbar PM mengarut, isu DAP dan ROS sudah selesai

KUALA LUMPUR, 3 JUL: Kenyataan dangkal Setiausaha Akhbar kepada Perdana Menteri, Tengku Sarifuddin Tengku Ahmad mengenai kemungkinan DAP tidak dapat menggunakan lambang roket dalam pilihanraya akan datang adalah karut semata-mata.

Ketua Biro Undang-undang DAP, Gobind Singh Deo dalam kenyataan balasnya menasihati Sarifudin agar mendapatkan nasihat peguam-peguam yang mewakili Pendaftar Pertubuhan (ROS) sebelum membuka mulut dan bercakap bagi pihak agensi terbabit.

“Kita tidak takut dengan Setiausaha Akhbar Perdana Menteri. Siapa dia untuk bercakap bagi pihak ROS?

“Dalam saman DAP terhadap ROS pada tahun 2014, peguam-peguam ROS telah mengakui bahawa surat yang ditujukan kepada DAP hanyalah nasihat dan tidak mengikat secara undang-undang.

“ROS mengiktiraf pemilihan Jawatankuasa Kerja Pusat (CEC) DAP pada 29 September 2013,” jelas Gobind dengan tegas.

Setiausaha Akhbar Perdana Menteri itu tempoh hari cuba mengalihkan perhatian orang ramai daripada skandal yang berlegar di sekeliling majikannya dengan mengajukan persoalan tentang pengiktirafan ROS terhadap DAP.

Pada ambang PRU ke-13, ROS dilihat cuba menghalang DAP daripada bertanding menggunakan lambang roket apabila ia tidak semena-mena muncul dengan mempersoalkan keabsahan pelantikan CEC.

“Saya mesti menasihati Setiausaha Akhbar PM supaya berhati-hati,” tambah Ahli Parlimen Puchong itu.

“Beliau tidak boleh membuat kenyataan bagi pihak ROS yang bertentangan dengan keputusan yang telah dicapai (di mahkamah). Beliau tidak berhak berbuat demikian,” tegas Gobind. – Roketkini.com