Berita

Isu ROS-DAP sudah selesai tahun 2014, tak perlu tunggu arahan TPM

KULAI, 4 JUL: Pertemuan antara Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Pendaftar Pertubuhan (ROS) bagi membincangkan isu pendaftaran DAP menimbulkan persoalan.

Ini kerana ROS sebagai agensi bebas sepatutnya mampu membuat keputusan berhubung isu berkenaan berdasarkan perlembagaan parti dan undang-undang negara, tanpa campur tangan Ahmad Zahid.

Tambahan pula, perkara itu telah diselesaikan sejak 2014 apabila ROS melalui peguamnya yang mengakui bahawa ahli jawatankuasa tertinggi (CEC) DAP yang dilantik pada 29 September 2013 boleh melaksanakan tugas, fungsi dan kuasanya dalam pentadbiran mengikut perlembagaan parti.

“Jadi mengapa kesahihan CEC DAP masih lagi satu isu? Adalah jelas bahawa, isu undang-undang yang berkaitan dengan kesahihan CEC DAP telah diselesaikan pada 2014,” kata Penolong Setiausaha Publisiti DAP, Teo Nie Ching dalam kenyataan hari ini.

Ahmad Zahid seperti dilaporkan media berkata ROS ada menerima permohonan daripada Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng agar kepimpinan DAP kini diterima sebagai pemegang jawatan yang sah.

“Perkara ini dikaji secara terperinci oleh ROS dan mereka bukan sahaja mengkaji dari segi aspek perundangan tetapi ROS juga berperanan untuk menjaga kepentingan mana–mana pertubuhan yang berdaftar dengannya.

“Dalam hal ini saya berbincang dengan ketua pengarah ROS dan saya belum dapat penjelasan untuk memuktamadkan tentang keputusan rayuan yang dibuat DAP,” katanya dipetik Bernama.

Nie Ching yang juga Ahli Parlimen Kulai turut menempelak kenyataan Ahmad Zahid yang mengatakan ROS bertindak secara profesional, sedangkan rayuan DAP sejak empat tahun lalu masih belum diputuskan sehingga kini.

“Adalah jelas bahawa keputusan berkenaan bukanlah di tangan Pengarah ROS. Ia ditentukan oleh tuan politik mereka.

“Meskipun demikian, DAP tidak akan tunduk kepada sesiapa,” tegasnya. – Roketkini.com