Berita

Setiausaha Akhbar PM ceroboh bidang tugas Zahid Hamidi

KUALA LUMPUR, 4 JUL: Wujud dua pusat kuasa dalam pentadbiran Datuk Seri Najib Razak, dan ini didedahkan apabila wujud perbezaan pandangan berhubung isu pembatalan pendaftaran DAP.

Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang berkata, dua pusat kuasa itu adalah antara lingkungan Pejabat Perdana Menteri dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) yang bertanggungjawab terhadap Pendaftar Pertubuhan (ROS).

Tindakan Setiausaha Akhbar Najib, Datuk Tengku Sariffuddin mencetuskan spekulasi mengenai pembatalan pendaftaran DAP menjelang Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14), mengundang reaksi balas Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

“Jika Tengku Sariffuddin menceroboh kawasan dan bidang kuasa Zahid ekoran RoS adalah di bawah KDN dan bukannya Jabatan Perdana Menteri, dia patut dikecam kerana kenyataannya,” ujar Kit Siang dalam kenyataan hari ini.

Namun kata beliau, pergelutan dalam pentadbiran Najib nampaknya lebih menyebelahi Setiausaha Akhbar Perdana Menteri.

Ini kelihatan jelas apabila Tengku Sariffuddin dilihat berterusan mengeluarkan kenyataan mengenai isu pembatalan pendaftaran DAP tersebut, tanpa mempedulikan kenyataan Ahmad Zahid bahawa beliau tidak nampak ada usaha untuk membubarkan DAP dan meminta supaya sebarang spekulasi dihentikan.

Kit Siang yang juga Ahli Parlimen Gelang Patah berkata, tindakan orang kanan Najib itu mengingatkan beliau kepada setiausaha politik perdana menteri pada suatu zaman dulu yang sangat berkuasa dan boleh memalukan menteri kanan secara terbuka.

“Najib tidak perlu menyorok di belakang pengikut-pengikut serta jentera propagandanya.

“Jika persaraan politik saya menjadi syarat untuk menghentikan konspirasi UMNO untuk membatalkan pendaftaran DAP, cakap sahaja. Saya akan pertimbangkan,” jelas Kit Siang. – Roketkini.com