Berita

DAP Sarawak puji kecekapan penjawat awam selesai pendaftaran tanah

KUCHING, 6 JUL: Dua hari selepas membuat aduan, Ahli Parlimen Kuching, Chong Chieng Jen akhirnya mampu menarik nafas lega apabila Pejabat Pendaftaran Tanah dekat sini berjaya menyelesaikan masalah timbunan dokumen yang masih menunggu untuk didaftarkan.

Malah katanya dalam kenyataan hari ini, sejak beberapa hari lepas, maklumbalas orang ramai yang berurusan di pejabat berkenaan amat memberangsangkan dan kini tidak ada lagi timbunan dokumen seperti sebelumnya.

“Saya justeru telah menulis sepucuk surat penghargaan dan rasa terima kasih kepada Superintendent (pejabat berkenaan) ekoran tindakan pantas dan positif beliau dan rakan sekerjanya.

“Ini adalah contoh di mana penjawat awam tidak mengambil kritikan secara negatif tetapi menggunakan kritikan tersebut untuk memperbaiki diri dan memenangi semula keyakinan orang ramai,” katanya yang juga Pengerusi DAP Sarawak.

Menyentuh perkara berkaitan, katanya, masalah ketidakseimbangan antara kaum dalam pentadbiran pejabat berkenaan telah menyebabkan kekurangan tenaga kerja ketika musim perayaan.

Ini, katanya yang juga Adun Kota Sentosa, adalah disebabkan dasar pengambilan kerja yang tidak adil oleh kerajaan negeri Barisan Nasional (BN).

“Oleh itu, saya akan membangkitkan perkara ini dalam saluran yang betul, seperti contoh sidang Dewan Undangan Negeri (DUN).

“Ketidakseimbangan antara kaum dalam sektor kerajaan bukan sahaja akan menjejaskan keharmonian antara kaum di Sarawak, tetapi akan merugikan pegawai kaum Melayu apabila tidak dibenarkan bercuti pada Hari Raya ekoran kekurangan tenaga kerja bukan Melayu untuk mengambil alih tugas mereka.

“Saya menggesa agar kerajaan menyelesaikan masalah ini secepat mungkin,” ujarnya. – Roketkini.com