Rencana

Tekanan terhadap Qaradawi adalah penindasan demokrasi

Yusuf al-Qaradawi, ulama tersohor dunia Islam kontemporari yang pernah menerima anugerah Tokoh Maal Hijrah daripada Malaysia, tampaknya terus ditekan. Sebelum ini, beliau yang kini berlindung di Qatar telah dinamakan oleh Arab Saudi bersama sekutunya Bahrain, UAE dan Mesir sebagai mempunyai hubungan dengan pengganas.

Kini, anak perempuan beliau Ola al-Qaradawi bersama suaminya, Hossam Khalaf, pula menjadi mangsa apabila ditahan pihak berkuasa Mesir atas alasan menjadi ‘ahli kumpulan haram’ Ikhwanul Muslimun. Siri tekanan ini adalah rentetan daripada tindakan memutuskan hubungan diplomatik dengan Qatar – negara yang kini melindungi al-Qaradawi serta beberapa pimpinan Ikhwanul Muslimun.

Penindasan terhadap demokrasi

Hakikatnya, kebangkitan Arab atau Arab Spring yang bermula sejak 2010 dan merangkumi penggulingan presiden Mubarak di Mesir dan seterusnya pemilihan demokratik Mohamed Morsi, seorang ahli gerakan Ikhwanul Muslimun, sebagai penggantinya, telah menyebabkan keresahan dalam kalangan pemimpin autoritarian dunia Arab. Setelah Morsi dijatuhkan, rejim presiden Mesir baru Abdel Fattah el-Sisi telah melabelkan Ikhwanul Muslimun sebagai pertubuhan haram serta bertindak untuk menindas kaum cendekia yang menyokongnya, termasuk al-Qaradawi.

Selain itu, al-Qaradawi yang menikmati kebebasan media di Qatar melalui Al-Jazeera yang menyiarkan rancangan TV beliau al-Sharīʿa wa al-Ḥayāh (syariah dan kehidupan) juga dilihat mencabar kestabilan para monarki di Teluk. Ini kerana rancangan TV beliau yang ditonton jutaan orang sarat dengan kritikan terhadap kepimpinan dunia Arab dan sokongan terhadap gerakan-gerakan revolusioner seperti Hamas di Palestin serta Ikhwanul Muslimun yang mempunyai sayap di seluruh rantau Arab.

Jelas, tekanan terhadap al-Qaradawi dan juga negara Qatar boleh dilihat sebagai tekanan terhadap bibit-bibit pendemokrasian bagi mengekalkan kelangsungan kepimpinan autoritarian serantau. Krisis yang sedang berlangsung ini bukan mengenai pertelingkahan antara mazhab, sama ada antara Sunni dengan Shia atau pergeseran pandangan sesama Sunni, sebagaimana yang ingin digambarkan. Persepsi ini hanyalah bagi menghalalkan perebutan geo-politik di Asia Barat.

Islam menyuruh kepada kebebasan

Justeru, jalan kedamaian bagi dunia Arab dan Muslim seluruhnya adalah dengan kembali kepada nilai-nilai sejagat Islam yang demokratik, menghormati hak asasi dan terbuka kepada perbezaan. Hanya melalui ruang perbahasan yang adil dan saksama dapat kita menghindari daripada ekstremisme. Maka, adalah perlu untuk kita menginsafi betapa pentingnya kebebasan untuk berbeza pendapat agar tiada kelompok akan menindas golongan yang tidak sependapat dengan mereka.

Lebih penting lagi, krisis ini menunjukkan betapa perlunya kedaulatan undang-undang. Tanpanya, sebarang hukuman yang dijatuhkan atas nama keharmonian atau keselamatan negara sekalipun tidak akan diterima oleh rakyat yang kian celik. Malah, penindasan sebeginilah yang mencetus kebangkitan Arab pada tahun 2010 yang sehingga kini sudah menggulingkan tiga rejim diktator tegar.

Al-Qaradawi sendiri kerap kali menyaran agar para ulama, kaum cendekia dan budayawan tidak tunduk kepada pemerintah zalim. Sebaliknya, mereka harus berani berkata benar meskipun dengan berbuat demikian mereka akan mengorbankan pangkat dan kesenangan mereka. Inilah tanggungjawab yang harus dipikul oleh ilmuwan masyarakat.

Malangnya, keberanian mereka yang bersuara seperti al-Qaradawi sering mengundang penindasan yang keras. Oleh itu, saya menzahirkan rasa simpati terhadap ujian yang ditempuh oleh al-Qaradawi dan keluarganya, apatah lagi dalam bulan Syawal yang berbahagia ini. Semoga beliau kuat menghadapinya dan moga-moga demokrasi akan subur di jazirah Arab dan seluruh dunia Islam.

*Zairil Khir Johari adalah Ahli Parlimen Bukit Bendera merangkap Penolong Setiausaha Publisiti DAP