Rencana

Khairy kutuk pembangkang, sindir UMNO?

Khairy Jamaluddin sewaktu di persidangan perwakilan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO Wangsa Maju mengeluarkan kenyataan bahawa Tun Mahathir, Dato’ Seri Anwar Ibrahim dan Lim Kit Siang harus bersara bersandarkan dua alasan utama, memecah belah masyarakat dan sudah tua.

Saya melihat kenyataan ini dari beberapa sudut. Kenyataan Khairy itu sebenarnya berbau tidak puas hati terhadap partinya berbanding parti lawan. Khairy sedang menghantar isyarat kepada pemimpin-pemimpin tua di dalam UMNO. Terutama yang membebankan imej UMNO seperti Presiden UMNO, Najib Razak supaya bersara dan biarkan Khairy yang mengepalai UMNO.

Dalam keadaan Najib Razak sendiri sudah semakin lemah penguasaanya terhadap parti, melihat kepada beberapa insiden yang menunjukkan percanggahan di kalangan kepimpinan kerajaan dan UMNO, sudah pasti Khairy melihat ini peluang yang baik untuk menghantar isyarat berkenaan.

Nampak gaya, seruan menyuruh pemimpin parti lawan supaya bersara dari politik barangkali adalah semboyan halus menyingkirkan presiden parti sendiri dari politik.

Khairy juga ketika menyentuh tentang perpecahan di kalangan warga Malaysia, gagal memperincikan apa yang sebenarnya berlaku. Hakikatnya, warga Malaysia bersatu di dalam dua kutub yang berbeza.

Sebahagian tidak mengira usia dan keturunan bersatu cuba menyelamatkan Malaysia dari kerosakan yang makin parah akibat tangan Najib Razak dan konco-konconya. Sehingga ada yang sanggup mengenepikan luka-luka lama dan mengutamakan rasa cinta pada Malaysia. Sebahagian lagi bersatu di belakang Najib Razak untuk memastikan hasil-hasil menjarah kekayaan Malaysia dapat ditaburkan kepada mereka.

Jika tua dan memecah belah itu perlu bersara, maka saya menyeru agar UMNO terlebih dahulu perlu bersara atau direhatkan. UMNO telah menjadi kerajaan selama hampir 60 tahun, sudah masuk waktu bersara.

UMNO juga mengakibatkan rakyat Malaysia terpecah antara kumpulan yang lazat menjarah kekayaan negara dengan kumpulan yang terkesan teruk dek perbuatan konco-konco UMNO. UMNO/BN selaku parti yang lama memerintah semakin lama semakin gagal dalam membawa agenda perpaduan sebenar di negara ini.

Kerajaan tua UMNO-lah sebenarnya yang perlu direhatkan dan laluan harus diberi kepada kerajaan baru yang tentunya muda dan bertenaga. Dengan memberi peluang negara ini menikmati demokrasi yang sihat kerana tiada sesiapa boleh berkuasa sepanjang zaman seperti UMNO, barulah masa depan politik kita betul-betul cerah dan aman.

*Edry Faizal Yusof adalah Ahli Jawatankuasa DAP Selangor merangkap Ahli Majlis Perbandaran Selayang.