Rencana

Kisah di sebalik tindakan ROS dan tiga soalan yang perlu dijawab

Ini merupakan cubaan kali ke-3 oleh UMNO-Barisan Nasional dalam masa empat tahun setengah untuk menghapuskan DAP melalui Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS).

Kali pertama berlaku selepas pemilihan Jawatankuasa Kerja Pusat (CEC) parti pada 15 Disember 2012.

Selepas ROS mempertikaikan pemilihan tersebut, DAP hampir-hampir tidak dapat menggunakan logo parti dalam PRU ke-13.

Pada Julai 2013, DAP telah diarahkan oleh ROS untuk melakukan pemilihan semula.

Ugutan-ugutan akan memansuhkan pendaftaran parti juga dilontar kepada DAP.

Dalam masa singkat dua bulan, DAP telah mematuhi arahan ROS dan melaksanakan pemilihan semula tersebut pada 29 September 2013.

Pemilihan semula ini bukan sahaja mematuhi arahan ROS malah dilaksanakan di bawah pemantauan ketat juru audit bebas Pannell Kerr Forster (PFK) bagi memastikan tiada sebarang pertikaian akan berbangkit kelak.

ROS gagal memberikan sebarang maklumbalas tentang pemilihan semula tersebut.

Pada 22 Januari 2014, DAP telah membawa kes ini ke Mahkamah untuk semakan kehakiman (“judicial review”).

Pada 23 September 2014, di Mahkamah Tinggi, ROS telah menyatakan bahawa arahan kepada DAP berkaitan pemilihan CEC bersifat nasihat (advisory) semata-mata dan tiada kuasa perundangan (“not legally binding”). Justeru, CEC yang dipilih pada 29 September 2013 berhak menjalankan segala fungsi dan tanggungjawabnya. (Sumber: http://www.malaysiakini.com/news/275447)

Empat tahun selepas itu dan dekat-dekat pilihan raya umum, tiba-tiba, setelah berjumpa dengan Timbalan Presiden UMNO Ahmad Zahid Hamidi, ROS mengeluarkan kenyataan media pada 7 Julai 2017 bahawa DAP perlu melaksanakan pemilihan yang sama untuk kali ke-3. (Sumber: http://www.bernama.com/bernama/v8/bm/po/newspolitics.php?id=1370460)

Ahmad Zahid Hamidi juga memberi amaran bahawa DAP akan dilarang bertanding dalam PRU ke-14 jika tidak mematuhi arahan ROS tersebut. (Sumber: http://www.thestar.com.my/news/nation/2017/07/09/follow-ros-instruction-or-dont-contest-ge14/)

Mengikut laman web ROS sendiri, di bawah segmen Piagam Pelanggan, tempoh masa yang ditetapkan oleh jabatan tersebut untuk “menyiasat dan membuat keputusan terhadap aduan pertubuhan (tidak termasuk bagi kes pendakwaan)” ialah 179 hari bekerja.

Kini 1382 hari (hampir1000 hari bekerja) sudah berlalu berikutan pemilihan kali ke-2 pada 29 September 2013. Mengapa baru sekarang ROS mengeluarkan kenyataan media mempertikaikan pemilihan CEC?

Tiga soalan perlu dijawab:

Mengapa selepas 4 tahun barulah ROS mengeluarkan keputusan terhadap DAP sedangkan piagam jabatan menetapkan hanya 179 hari bekerja?

Adakah tindakan ROS itu menghina Mahkamah kerana bertentangan dengan kenyataan penyelesaian (“settlement statement”) di Mahkamah Tinggi pada 23 September 2014?

Apa pula peranan campur tangan Timbalan Presiden UMNO yang berjumpa dengan ROS sebelum ROS mengeluarkan kenyataan terbaru itu?

Jelas di sini, kesanggupan ROS mengenepikan kedua-dua piagam jabatan dan kenyataan penyelesaian Mahkamah terhadap isu DAP, selepas berjumpa Ahmad Zahid Hamidi, menampakkan suatu taktik berbaur jahat terhadap DAP. – Roketkini.com

*Steven Sim Chee Keong adalah Ahli Parlimen Bukit Mertajam merangkap Pengarah Pendidikan Politik DAP Pulau Pinang