Berita

‘Bagaimana dengan 15 soalan untuk Najib?’ Syeikh Omar soal anak MB Johor

KLUANG, 13 JULAI: Keresahan UMNO Johor terhadap perpecahan yang melanda parti itu tidak dapat diselindungkan ekoran maklumbalas terhadap rencana ‘Zahid, bukan setakat Johor yang mahu ditawan’ tulisan Setiausaha Publisiti DAP Johor, Syeikh Omar Ali yang disiarkan Roketkini 10 Julai lalu.

Rencana tersebut antara lain mengulas kekhuatiran Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Zahid Hamidi terhadap usaha Pakatan Harapan merampas negeri itu dari Barisan Nasional (BN).

Ia turut mendedahkan kecenderungan generasi baru UMNO beralih kepada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM).

Bagaimanapun, pendedahan Syeikh Omar itu dinafikan oleh anak Menteri Besar Johor, Akmal Saufi Mohamed Khaled.

Mengulas perkara itu, Syeikh Omar dalam kenyataannya mengimbau bagaimana Akmal sebelum ini mempersoalkan kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak ekoran skandal ‘derma’ RM2.6 bilion dan 1MDB.

“Saya ingin bertanya, adakah beliau masih konsisten sehingga hari ini mempertahankan 15 soalan yang dibangkitkan kepada Perdana Menteri berkaitan isu dana RM2.6 bilion dan 1MDB?

“Bahkan dengan pendedahan-pendedahan baru yang timbul hari ini, adakah beliau bersetuju perjuangan para pemimpin seperti Tun Mahathir Mohamad dan Tan Sri Muhyiddin Yassin berhubung skandal 1MDB adalah keutamaan pada masa ini bagi membebaskan Malaysia dari jolokan negara kleptokrasi?” soal beliau.

15 soalan yang dibangkitkan Akmal yang juga Ketua Penerangan Pemuda UMNO Johor itu pernah disiarkan dalam Sinar Harian bertarikh 4 Ogos 2015 adalah seperti berikut:

1) Ketika Datuk Seri Najib menerima dana sejumlah RM2.6 bilion, adakah Datuk Seri sedia maklum sejumlah wang telah memasuki akaun Datuk Seri?

2) Apakah bukti bahawa duit tersebut merupakan derma dan bukan duit berkaitan 1MDB mahupun pihak yang mempunyai transaksi berkaitan 1MDB?

3) Sebagaimana kenyataan SPRM, duit tersebut adalah derma. Adakah sumbangan tersebut merupakan sumbangan bagi kepada kerajaan, tujuan Umno atau tujuan peribadi?

4) Jika duit tersebut adalah sumbangan buat Umno, adakah kepimpinan Umno terutamanya Majlis Tertinggi Umno mengetahui tentang derma tersebut?

5) Jika Majlis Tertinggi Umno tidak mengetahui adakah ini bermaksud Umno tidak akan mengetahui kewujudannya jika Datuk Seri tidak memaklumkan kewujudannya?

6) Bilakah Datuk Seri bercadang untuk memaklumkan kepada Majlis Tertinggi jika tidak didedahkan kepada Majlis Tertinggi?

7) Andai kata derma tersebut merupakan derma peribadi kepada Datuk Seri dan bukan kepada Umno, adakah Datuk Seri menerima tersebut ketika memegang jawatan sebagai salah seorang ahli jemaah menteri?

8) Bolehkah seorang menteri atau timbalan perdana menteri atau perdana menteri menerima derma apabila sedang memegang jawatan di dalam kerajaan?

9) Adakah perlu duit derma tersebut perlu isytihar kepada rakyat dan ahli Kabinet yang lain?

10) Adakah Gabenor Bank Negara dan cendekiawannya sedar akan pergerakan duit sejumlah RM2.6 bilion ke dalam negara?

11) Adakah Lembaga Hasil Dalam Negeri sedar mengenai sejumlah duit yang telah diterima Datuk Seri Najib?

12) Jika ya, adakah Datuk Seri Najib telah membayar sebarang cukai pendapatan berdasarkan nilai duit tersebut?

13) Adakah seorang perdana menteri boleh mendapat pengecualian cukai?

14) Jika Datuk Seri Najib mendapat pengecualian cukai, adakah pengecualian tersebut adalah kepada gaji Datuk Seri Najib atau apa saja derma yang diterima beliau? – Roketkini.com