Berita

Fitnah Adun Damansara Utama, Jamal Yunos disaman RM5 juta

KUALA LUMPUR, 13 JUL: Adun Damansara Utama, Yeo Bee Yin menggesa Datuk Jamal Md Yunos menjawab saman fitnah RM5 juta yang difailkannya pada 14 Jun lepas.

Beliau yang hadir ke Mahkamah Tinggi Jalan Duta di sini bagi hari pertama pengurusan kes, kesal apabila Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar itu gagal muncul di mahkamah.

“Dalam tempoh pendek kerjaya politik saya, tidak pernah sekalipun saya berhadapan dengan tuduhan sedemikian rupa. Ia tidak adil,” katanya merujuk fitnah penyelewengan dana awam yang dilemparkan Jamal terhadapnya beberapa bulan lepas.

“Saya mahu menyaman dia bagi memastikan dia menanggung akibat (daripada penyebaran fitnah).”

Adalah penting katanya untuk Ketua Baju Merah itu hadir ke mahkamah bagi membersihkan reputasinya yang terjejas ekoran penyebaran fitnah berkenaan.

Sementara itu, peguam Bee Yin, SN Nair memaklumkan bahawa pembantu kanan pendaftar, Rumaizah Baharom menetapkan 3 Ogos hadapan sebagai tarikh pengurusan kes kedua saman berkenaan.

“Jika dia (Jamal) tidak hadir (pada 3 Ogos), kami akan memohon penghakiman ingkar (judgement in default),” ujarnya.

Pada 21 Mac lepas, Jamal bersama enam lagi pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mengadakan sidang media mendakwa kononnya Bee Yin mengunakan dana Yayasan Warisan Anak Selangor (Yawas) secara salah.

Ahli Jawatankuasa DAP Selangor itu dalam satu sidang media keesokannya harinya tampil mendedahkan bukti lengkap bagi menjawab segala tuduhan berkenaan. – Roketkini.com