Berita

HARAPAN tidak amal hegemoni UMNO dalam BN, tiada parti dominan

MIRI, 14 JUL: Tidak seperti Barisan Nasional (BN) yang dikuasai UMNO, Pakatan Harapan (HARAPAN) merupakan gabungan empat parti yang bergerak berlandaskan kerjasama politik setara dan setiap keputusan dilakukan secara konsensus.

Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Salleh Keruak yang mempersoalkan mengapa HARAPAN meminggirkan DAP daripada mengisi tiga jawatan tertinggi dalam gabungan itu.

“Apa yang Salleh dan pemimpin UMNO-BN, propagandis, tentera siber mereka perlu faham adalah HARAPAN adalah gabungan yang berbeza daripada gabungan UMNO-BN,” kata Kit Siang dalam kenyataan hari ini.

“Dalam BN, hegemoni UMNO diterima sebagai modus operandi oleh 13 parti komponennya, yang mana semakin dipinggir peranannya.”

Menurut Ahli Parlimen Gelang Patah itu, dalam BN, tidak ada keputusan yang dibuat secara konsensus yang ada hanyalah sikap dominan UMNO sehinggakan pemimpin parti komponen lain tidak berani untuk menyuarakan mengenai siapa “Malaysia Official 1” dan skandal 1MDB.

Salleh yang juga Menteri Komunikasi dan Multimedia merupakan pemimpin UMNO pertama yang memulakan serangan secara terbuka terhadap HARAPAN selepas ia mengumumkan struktur kepimpinan semalam.

Beliau dilaporkan mendakwa HARAPAN bukanlah tandingan BN yang kononnya teruji kerjasamanya antara kaum.

Berkenaan itu, Kit Siang melontarkan komennya secara sinis: “Saya setuju dengan Salleh bahawa HARAPAN tidak akan dapat menandingi UMNO-BN yang menjadikan Malaysia sebagai ‘kleptokrasi global’ dan kami tidak akan mampu menandingi salah guna kuasa dan korupsi mereka.” – Roketkini.com