KUALA LUMPUR, 14 JUL: Sosialis Muda DAP (DAPSY) menyifatkan pengumuman struktur kepimpinan, matlamat utama serta logo oleh Pakatan Harapan (HARAPAN) semalam sebagai perangsang positif ke arah pilihan raya umum ke-14 (PRU-14).
Ketua DAPSY, Wong Kah Woh berkata, ia juga menunjukkan kesepakatan yang semakin mantap antara parti komponen HARAPAN yang terdiri daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), PKR, DAP dan Parti Amanah Negara (Amanah).
“Pengumuman HARAPAN berkenaan dengan dasar 100 hari pentadbiran juga merupakan satu permulaan baik untuk HARAPAN melancarkan manifesto.
“Begitu juga barisan muda HARAPAN dan DAPSY, yang mana telah mengumumkan dasar-dasar kami sejak sebulan yang lepas, secara beransur-ansur dan akan diteruskan menjelang PRU nanti.
“Persoalan sekarang, sama ada Barisan Nasional akan tidak menghalang proses pendaftaran HARAPAN ke Pendaftar Pertubuhan (ROS),” katanya yang juga Adun Canning kepada Roketkini.
PH sebulat suara melantik Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai ketua umum gabungan pembangkang itu dengan Tun Dr Mahathir Mohamad ditugaskan sebagai pengerusi, manakala Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dinamakan sebagai presiden.
Selain menuntut pembebasan Anwar Ibrahim melalui proses pengampunan diraja, HARAPAN juga mengumumkan beberapa langkah yang akan diambil sepanjang tempoh 100 hari pemerintahan negara seperti berikut:
- Menghapuskan cukai barangan dan perkhidmatan (GST);
- Menstabilkan harga petrol;
- Memberi fokus kepada usaha meringankan beban rakyat;
- Memulakan proses reformasi institusi secara menyeluruh;
- Memerangi rasuah hingga ke akar umbi;
- Menubuhkan Suruhanjaya Siasatan di-Raja skandal 1MDB; dan
- Memulihkan Felda.
Pemuda HARAPAN sebelum ini telah melancarkan manifesto yang antara lain menyentuh mengenai pendidikan percuma dan mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) sebagai syarat kemasukan ke universiti tempatan. – Roketkini.com