Berita

Skandal 1MDB: Singapura sudah bertindak, Apandi Ali tunggu apa lagi?

KUALA LUMPUR, 14 JUL: Peguam Negara, Tan Sri Apandi Ali digesa menjelaskan mengapa sehingga kini tiada tindakan diambil terhadap siasatan ke atas skandal 1MDB, meskipun banyak negara telah melengkapkan siasatan dan membawa pesalah ke muka pengadilan.

“Peguam Negara tidak harus berdiam diri dan menjelaskan mengapa berlaku kelewatan dalam kes ini. Dia juga mesti menjelaskan mengapa masih tiada lagi tindakan diambil di Malaysia.

“Dia juga harus menyatakan secara jelas apa yang telah terjadi dalam siasatan (kes) berkenaan dan bilakah tindakan dapat dilakukan,” kata Ketua Biro Undang-Undang DAP, Gobind Singh Deo.

Menurutnya yang juga Ahli Parlimen Puchong, kes seumpama itu akan memberi impak yang negatif terhadap pasaran kewangan negara, selain menghakis keyakinan pelabur jika tidak diatasi secara efisyen.

“Malaysia bakal kehilangan kredibiliti dengan ketiadaan tindakan berhubung perkara yang melibatkan 1MDB. Tindakan yang telah diambil dalam kes berkait 1MDB merentas dunia meletakkan sistem keadilan Malaysia dalam keadaan terjejas,” ujarnya.

Berdasarkan laporan media, pihak polis pada 12 April 2017 memaklumkan bahawa siasatan ke atas 1MDB selesai dan dokumen berkaitan telah dihantar ke pejabat Peguam Negara.

Bagaimanapun, dokumen siasatan berkenaan dihantar semula kepada pihak polis dengan arahan untuk melakukan siasatan lanjut terhadap kes berkenaan.

Bekas perancang harta tanah BSI Singapura, Yeo Jiawei, 34, dijatuhi hukuman penjara 54 bulan selepas mengaku bersalah terhadap pengubahan wang haram dan dakwaan menipu berkaitan dana 1MDB pada Rabu lepas. – Roketkini.com