Berita

Kerajaan digesa bincang pelantikan Ketua Hakim Negara dari Sabah-Sarawak sebelum sidang Parlimen

KUALA LUMPUR, 17 JULAI: Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang menggesa supaya kabinet dan 57 ahli parlimen Sabah dan Sarawak membincangkan pelantikan Ketua Hakim dari dua wilayah itu sebelum sidang Parlimen yang dijadualkan 24 Julai hadapan.

Gesaan ini dibuat ekoran lanjutan tempoh Ketua Hakim Negara, Tan Sri Md Raus Sharif dan Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinudin yang didakwa sebagai tidak berperlembagaan.

Perlanjutan tempoh itu katanya telah menjejaskan peluang Hakim Besar dari Sabah dan Sarawak yang disandang Tan Sri Richard Malanjum menduduki jawatan tersebut buat pertama kali dalam tempoh hampir enam dekad penubuhan Malaysia.

“Ia juga dilihat sebagai kegagalan kerajaan melaksanakan visi Malaysia sebagai Persekutuan di mana hak dan kepentingan Sabah dan Sarawak dihormati dan diiktiraf sepenuhnya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Penafian peluang Hakim Besar Sabah dan Sarawak itu ujarnya telah merendah-rendahkan kesucian dan integriti Perlembagaan dimana Sabah dan Sarawak perlu diintergrasi sepenuhnya dan bukan dianak-tirikan.

Perkara ini katanya dikhuatiri akan dieksploitasi pihak tertentu dengan dakwaan bahawa Kerajaan Persekutuan terlalu ‘melebih-lebihkan Semenanjung’ (Semenanjung-centric).

“Soalan yang perlu ditanya sekarang ialah apa gunanya memiliki satu pertiga atau 10 dari 35 Menteri Kabinet dan 57 Ahli Parlimen Sabah dan Sarawak jika tidak seorangpun dari menteri dan ahli parlimen Barisan Nasional (BN) bersuara mempertahankan perlembagaan dan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) untuk membantah penafian peluang terhadap Hakim Tan Sri Richard Malamium sebagai Ketua Hakim Negara?

“Jangan biarkan penafian peluang melantik Ketua Hakim dari Sabah dan Sarawak menjadi gambaran sebenar bagaimana Sabah dan Sarawak dianaktirikan,” katanya lagi. –Roketkini.com