Rencana

Lebih baik tiga nakhoda, daripada duduk dalam kapal karam

Kata Ahmad Zahid Hamidi, Barisan Nasional (BN) mempunyai seorang sahaja nakhoda. Logik beliau, kapal yang dikemudi seorang sahaja nakhoda akan dipandu ke satu destinasi tanpa berkiluk kiri atau ke kanan.

Tambah beliau, BN yang memiliki seorang sahaja nakhoda itu lebih wajar diteladani. Timbalan Perdana Menteri itu barangkali terlupa, dengan hanya seorang nakhoda yang dibiar bertindak semahunya itulah yang menjadikan rakyat terbeban kesan polisi buruk yang diperkenalkannya. Skandal 1MDB yang masyhur seantero dunia juga datang dari nakhoda yang sama.

Nakhoda itu jugalah yang kekal memerintah berseorangan tanpa sesiapa berani menyentuh ataupun menegur tindakannya. Mereka yang menegur nakhoda ini akan dipecat atau digugurkan dari kabinet pemerintahannya.

Sebaliknya sesiapa yang angguk bersetuju dan memuji apa sahaja yang diperbuatnya walaupun ianya seburuk-buruk keputusan sehingga boleh menjahanamkan ekonomi negara, mereka itu akan kekal selamat malah ada yang dinaikkan pangkat menjadi Timbalan Perdana Menteri misalnya.

Tiga kepala tujuannya sama

Inilah tanda-tanda kegelisahan yang tidak terbendung menimpa pemimpin-pemimpin Umno. Ketua Pemudanya juga bercakap dalam nada yang serupa; kata-kata seperti tiga kepala, tiga nakhoda atau apa sahaja gelaran adalah gambaran sebenar mimpi ngeri sesama mereka.

Pakatan Harapan (Harapan) adalah gabungan parti-parti pembangkang dalam bentuk yang sepenuhnya berbeza dengan BN. Harapan hadir dengan logo barunya yang segar bukan sekadar menawarkan alternatif di Putrajaya, ia datang dengan kesungguhan merubah pemikiran lama yang dimomok BN kepada rakyat sejak sekian lama.

Kesemua pemimpin (bukan setakat tiga nakhoda sahaja) di dalam Harapan adalah nakhoda yang bertanggungjawab menjadi pengimbang kepada apa-apa keputusan yang dibuat.

Melihat struktur organisasi Harapan yang mengangkat Anwar Ibrahim sebagai Ketua Umum sudah cukup memberitahu Ahmad Zahid betapa berbezanya Harapan dan BN.

Tidak ada abang besar mahupun parti yang lebih dominan yang boleh menentukan bagaimana Harapan boleh dipandu.

Bagaimana PPBM boleh menjadi dominan sedangkan Ketua Umumnya adalah dari Keadilan?

Tidakkah pelik mendakwa DAP akan mendominasi Harapan yang dipimpin Presiden dari Keadilan dan timbalan-timbalan terdiri daripada Presiden Amanah, Presiden PPBM dan hanya seorang Setiausaha Agung dari DAP?

Pemimpin yang naïf seperti PAS sahaja yang boleh berimaginasi konon dominasi DAP terbukti dengan logo Harapan, ini kerana tidak ada lagi yang tinggal untuk mereka perjuangkan.

Dalam Harapan, semua keputusan adalah konsensus yang mesti dipersetujui kesemua parti. Lihat sahaja bagaimana cadangan piliharaya mengejut negeri Pulau Pinang yang diusulkan DAP namun tidak boleh diteruskan kerana tidak mendapat restu dari parti-parti komponen yang lain.

Harapan berkongsi kuasa, BN menguasai kuasa

Rakyat pastinya lebih meyakini sosok kesemua nakhoda yang memimpin Harapan hari ini. Ada di antara mereka yang teruji dengan penjara dan aniaya tetapi kekal melawan hingga sekarang, maka bertiga terkadang menjadi lebih baik.

Mereka ini tentunya lebih berani berdepan pemimpin korup seperti apa yang telah mereka lakukan selama ini berbanding Ahmad Zahid Hamidi, Salleh Keruak mahupun Khairy Jamaludin sekalipun.

Ketiga-tiga mereka ini sedar, Harapan kini telah berada di dalam kedudukan terbaiknya untuk menumbangkan BN. Mood untuk menukar kerajaan di Putrajaya terasa di mana-mana sebaik sahaja pelancaran logo Harapan.

Selepas kaget dengan tindakan berjiwa besar Ketua Parlimen DAP – Lim Kit Siang – yang tidak ada dalam struktur organisasi Harapan, pemimpin BN semakin berputus harap lalu tercari-cari modal untuk membuktikan taat setia kepada nakhoda mereka yang satu itu.

Mengkritik Harapan tanpa DAP dalam jawatan-jawatan tertinggi atau memperlekeh logo sehinggalah mendakwa Harapan dikemudi tiga nakhoda atau tiga kepala pada satu badan; semuanya sekadar nak menyedap hati dan melegakan kegelisahan hati masing-masing.

Mereka sedar, variasi nakhoda yang berpengalaman dalam Harapan pastinya menarik minat hampir kesemua segmen pegundi di Malaysia.

Pengumuman logo dan struktur organisasi Harapan telah melengkapkan produk harapan rakyat ini. Secara tidak langsung ia telah memberitahu rakyat, yang mereka telah bersedia merehatkan nakhkoda dan kapal BN.

Harapan bukan sekadar mahu menawan Putrajaya dan mengembalikan Malaysia di landasannya; Harapan mahu memastikan kapal BN yang dikemudi seorang nakhoda itu karam dan tenggalam buat selamanya. – Roketkini.com

*Nor Miswary Ramli Pengerusi DAP Cawangan USJ Subang Jaya