Berita

Dakwaan ROS berasaskan ‘fiksyen’, DAP terus ajak berbincang

KUALA LUMPUR, 19 JUL: Jabatan Pendaftar Pertubuhan (ROS) digesa menjalankan tugas secara profesional dan bertanggungjawab serta bertemu dengan DAP segera memandangkan arahan pemilihan semula agensi terbabit adalah berasaskan laporan ‘fiksyen’.

Dalam sidang media Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) sebentar tadi, Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng mempertikaikan keputusan ROS yang menurutnya dibuat berasaskan ‘Laporan Equiti: Penipuan Pemilihan CEC’ yang ditulis oleh watak rekaan, Father Augustus Chen.

“Lim Kit Siang telah memenangi saman fitnah terhadap Utusan Malaysia, berkait tulisan ‘Father Augustus Chen’ ini dan mendapat ganti rugi RM250,000 di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 10 Disember 2014.

“Soalnya sekarang, kenapa ROS membuat keputusan berasaskan laporan palsu yang telah disahkan mahkamah?” soal beliau dalam sidang media di Ibu Pejabat Kebangsaan DAP malam ini.

Dua hari lalu, DAP akhirnya menerima pemberitahuan rasmi oleh pihak ROS yang memberikan alasan-alasan bagi arahan supaya mengadakan pemilihan semula.

Bagaimana pun, CEC berhujah bahawa alasan kononnya ada perwakilan yang dinafikan hak berhujah adalah langsung tidak berasas.

“Bilangan perwakilan yang layak mengundi di pemilihan semula CEC pada tahun 2013 adalah sama dengan bilangan pada tahun 2012.

“Ini disahkan oleh juruaudit bebas yang menjalankan serta menyaksikan pemilihan semula yang diadakan pada tahun 2013,” jelas Guan Eng yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang.

Malah, katanya notis makluman kepada kesemua perwakilan yang layak telah dihantar dan bukti pengeposan telah pun diserahkan kepada ROS pada tahun 2014 lagi.

Angka-angka palsu

“Tidak pernah wujud 865 cawangan yang layak pada pemilihan tahun 2012. Kali pertama angka ini disebut ialah dalam laporan Father Augustus Chen,” tambah Guan Eng lagi.

Beliau menjelaskan bahawa hanya terdapat 751 cawangan yang layak dengan 2,576 orang perwakilan diberi notis pada kedua-dua pemilihan.

“Memang ada 985 cawangan pada tahun 2013, namun hanya ada 751 buah cawangan yang layak,” ujarnya, menepis tuduhan kononnya terdapat 865 cawangan seperti yang didakwa oleh laporan palsu terbabit.

Justeru itu, ROS diperingatkan tentang persetujuan yang dicapai di mahkamah pada 23 September 2014, di mana agensi terbabit mengiktiraf CEC yang dilantik pada 29 September tahun sebelumnya.

“Kami ingin tegaskan bahawa DAP tidak takut mahu adakan pemilihan semula.

“Tempoh CEC yang dilantik pada tahun 2013 hampir berakhir, dan kita memang sedang mengatur kongres untuk memilih CEC baru,” ujar Guan Eng lagi.

Menurutnya terdapat beberapa pilihan yang boleh diambil oleh pihak DAP termasuk membawa ROS ke mahkamah sekali lagi.

Namun pihaknya masih berusaha untuk berbincang dengan pihak ROS, walaupun sehingga kini usaha bertemu mereka masih belum berjaya.

ROS mencetuskan kembali isu pemilihan semula CEC setelah ditimbulkan oleh Setiausaha Akhbar Perdana Menteri, Datuk Tengku Sariffuddin ketika cuba mematahkan analisis DAP terhadap majikannya.

Tanpa menjawab analisis terbabit, Sariffuddin hanya melemparkan kenyataan supaya DAP lebih bimbang tentang nasibnya pada pilihanraya akan datang jika dihalang daripada menggunakan lambang roket ekoran dibatalkan pendaftaran oleh ROS. – Roketkini.com