Berita

Pekan kawasan ‘hantu raya’, Tun M tumpu perkukuh HARAPAN

KUALA LUMPUR, 24 JULAI: Selepas dicabar untuk bertanding di Parlimen Pekan, Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini mencabar Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Hussein supaya mencuba nasib di Langkawi.

Beliau secara sinis melahirkan rasa hairan terhadap kawasan pilihan raya yang diwakili Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak itu ekoran keadaan pengundi yang kerap berubah dalam jumlah yang besar.

“Pekan pelik sikit. Ada masa jumlah pengundi dia 35,000 orang dan Najib menang 225 undi.

“Lepas itu bila pilihan raya sekali lagi, pengundi dia meningkat sebanyak 80,000. Tak tahu dari mana datang, dia pun menang banyak ribu.

“Itu bukan kawasan pilihan raya, itu kawasan hantu raya,” katanya kepada media selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan (HARAPAN).

Terlebih dahulu Tun Mahathir mengumumkan bahawa deraf perlembagaan HARAPAN telahpun dihantar kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) untuk diteliti dan diluluskan.

“Hari ini, kita (semua komponen HARAPAN) sudah setuju perlembagaan kita. Harap tak ada masalahlah,” ujar beliau.

Majlis Presiden HARAPAN bersetuju untuk melantik Naib Presiden HARAPAN, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Raya.

“Kita telah tubuhkan jawatankuasa pilihan raya yang terdiri dari ketua-ketua pilihan raya (parti) masing-masing dan dipengerusikan oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Wakil-wakil parti (komponen HARAPAN) akan dilantik sebagai timbalan pengerusi jawatankuasa dan akan diumum kemudian,” katanya lagi.

Mesyuarat Majlis Presiden HARAPAN hari ini turut mengumumkan Himpunan ‘Rakyat Sayangi Malaysia Hapuskan Kleptokrasi’ yang akan diadakan di Padang Timur, Majlis Bandaraya Petaling Jaya pada 14 Oktober hadapan bermula jam 4 petang. – Roketkini.com