Berita

SPRM dicabar masukkan pengisytiharan harta dalam Ikrar Bebas Rasuah

GEORGE TOWN, 24 JUL: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dicabar memasukkan klausa pengisytiharan harta secara terbuka kepada media dan orang ramai dalam Ikrar Bebas Rasuah (IBR) yang dipeloporinya.

Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri Pulau Pinang, Wong Hon Wai berkata, ia haruslah dikuatkuasakan kepada Ketua Menteri atau Menteri Besar, Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan (EXCO) dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun).

Beliau berkata demikian sebagai respon terhadap kenyataan berbaur politik Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Dzulkifli Ahmad yang seolah menuduh kerajaan negeri Pulau Pinang kononnya tidak serius dalam memerangi rasuah ekoran enggan menandatangani IBR.

Mengulas lanjut, Adun Air Itam itu berkata, piawaian integriti yang ditetapkan kerajaan negeri adalah lebih tinggi berbanding IBR, justeru meminta agar SPRM belajar daripada kerajaan negeri dan mempelawa negeri lain melaksanakan model integriti Pulau Pinang.

“SPRM hanya berminat untuk membuat serangan politik terhadap Kerajaan Negeri Pulau Pinang dan gagal menetapkan piawaian yang tinggi dalam penetapan dasar integriti,” ujarnya dalam kenyataan hari ini.

Sejak tahun 2008, katanya, kerajaan negeri telah menerima pakai 10 langkah integriti yang mempunyai tahap piawaian lebih tinggi berbanding IBR, malah mencerminkan komitmen dalam menangani gejala jenayah rasuah.

Ini termasuklah amalan Pentadbiran yang berlandaskan Prinsip CAT (Cekap, Akauntabiliti dan Telus), menginstitusikan pengisytiharan harta secara terbuka oleh Ketua Menteri, barisan EXCO dan Adun serta melaksanakan tender terbuka yang kompetitif.

Bukan sahaja itu, kerajaan negeri tidak membenarkan ahli keluarga untuk melibatkan diri dalam kontrak Kerajaan atau berurus niaga dengan kerajaan negeri serta melarang ADUN dan ahli pentadbiran daripada meluluskan permohonan tanah kerajaan negeri. – Roketkini.com