KUALA LUMPUR, 25 JULAI: Desakan supaya Ketua Hakim Sabah dan Sarawak, Tan Sri Richard Malanjum dilantik sebagai Ketua Hakim Negara disuarakan ahli-ahli Parlimen DAP.
Gesaan dibuat Ahli Parlimen Bandar Kuching, Chong Chieng Jen, Ahli Parlimen Sandakan, Stephen Wong bersama beberapa anggota parlimen Sabah dan Sarawak yang lain di Parlimen semalam.
Mereka menyatakan kesediaan untuk mengadakan mesyuarat meja bulat bagi mencadangkan pelantikan Richard Malanjum sebagai Ketua Hakim Negara yang baharu.
Menurut Chieng Jen, pelantikan Ketua Hakim Negara dari Borneo akan menjadi sesuatu yang amat bermakna kepada Sabah, Sarawak dan Semenanjung yang membentuk Persekutuan Malaysia.
“Sejak membentuk Malaysia, negara ini tidak pernah memiliki ketua hakim negara dari Sabah atau Sarawak.
“Jadi kita ingin bertanya, adakah hakim dari Borneo tidak cukup bagus, atau statusnya lebih rendah berbanding hakim dari Semenanjung?” soalnya yang juga Pengerusi DAP Sarawak.
Pelantikan ketua hakim dari dua wilayah Borneo itu kata beliau juga tidak bercanggah dengan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) malah ia telah memperuntukan status saksama bidang kuasa dua mahkamah tinggi iaitu bagi Sabah, Sarawak dan Malaya.
Kontroversi isu ini tercetus setelah Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak melanjutkan tempoh perkhidmatan Ketua Hakim Negara, Tan Sri Md Raus Sharif sebagai ketua hakim bagi tempoh tiga tahun lagi.
Minggu lalu, Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang menggesa supaya kabinet dan 57 ahli parlimen Sabah dan Sarawak membincangkan pelantikan Richard Malanjum sebelum sidang Parlimen.
Pelanjutan tempoh Raus katanya telah menjejaskan peluang Ketua Hakim Sabah dan Sarawak yang disandang Tan Sri Richard Malanjum menduduki jawatan tersebut buat pertama kali dalam tempoh hampir enam dekad penubuhan Malaysia.
“Ia juga dilihat sebagai kegagalan kerajaan melaksanakan visi Malaysia sebagai Persekutuan di mana hak dan kepentingan Sabah dan Sarawak dihormati dan diiktiraf sepenuhnya,” kata Kit Siang. – Roketkini.com