Berita

Soalan kos lawatan Rosmah di London, terima jawapan ‘sampah’

KUALA LUMPUR, 25 JUL: Jawapan Datuk Seri Azalina Othman berhubung perbelanjaan yang dikeluarkan kerajaan bagi menampung kos lawatan isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor ke London diibaratkan seperti sampah.

Ahli Parlimen Kulai, Teo Nie Ching berkata, beliau mengemukakan secara terperinci mengenai butir persoalan berkaitan lawatan berkenaan, namun jawapan yang diberikan amat mengecewakan.

“Saya ingin tahu berapa kos lawatan ke London, butiran perjalanan dan apakah hasil lawatan Datin Seri Rosmah Mansor dan dua menteri lain ke London pada 4 hingga 10 Mei.

“Tapi bila saya terima jawapan, saya hairan dengan jawapan yang diberi Azalina. Dia (Azalina) langsung tak sebut berapakah jumlah yang dipersetujui oleh jemaah menteri.

“Ini contoh yang sangat teruk. Ini jawapan yang ‘rubbish’,” katanya pada sidang media di Parlimen.

Nie Ching dalam soalan bertulis meminta Perdana Menteri menyatakan kos, butiran perjalanan dan hasil lawatan penaung PERMATA, Rosmah ke London pada 4 hingga 10 Mei 2017 dengan diiringi Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat serta Azalina sendiri.

Bagaimanapun jawapan yang diberi Azalina kepada Nie Ching tidak menyatakan dengan terperinci mengenai kos berkenaan.

Azalina berkata kos yang terlibat dalam lawatan rasmi Rosmah ke London adalah seperti mana yang dipersetujui jemaah menteri melalui Memorandum Jemaah Menteri yang dibentangkan pada 26 April 2017 dengan menggunakan peruntukan sedia ada Jabatan Perdana Menteri.

Dalam jawapan itu juga, beliau turut menyenaraikan lima program semasa lawatan rasmi tersebut berserta empat hasil dan manfaat yang diperolehi mereka melalui program terbabit.

Mengulas lanjut, Nie Ching yang juga Penolong Setiausaha Publisiti DAP berkata, Ahli Parlimen Pengerang itu sepatutnya telus terhadap rakyat berhubung kos sebenar lawatan berkenaan jika program itu benar-benar memberi manfaat seperti yang didakwanya.

“Kalau Azalina cukup yakin lawatan ke London memberikan hasil dan manfaat, kenapa tak boleh beritahu rakyat berapa banyak kos yang telah dibelanjakan?

“Memang semua orang tahu segala perbelanjaan perlu dilulus oleh jemaah menteri. Soalan saya hanya nak tahu kos. RM1 juta ke? RM2 juta atau setengah juta?” soalnya. – Roketkini.com