Berita

‘Azalina, kalau tak mahu jawab soalan tak perlu jadi menteri’ – Anthony Loke

KUALA LUMPUR, 27 JUL: Datuk Seri Azalina Othman sekali lagi dilihat cuba menyembunyikan jumlah sebenar yang dikeluarkan kerajaan bagi menampung kos beberapa acara membabitkan perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak dan isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor.

Ahli Parlimen Kulai, Teo Nie Ching sebelum ini mendakwa Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu memberikan jawapan sampah apabila gagal mendedahkan kos terperinci berhubung lawatan Rosmah yang juga penaung PERMATA ke London bersama dua menteri lain termasuk Azalina.

Kali ini, menteri UMNO itu sekali lagi berdalih dalam jawapan bertulisnya di Parlimen apabila persoalan yang dibangkitkan Ahli Parlimen Seremban, Anthony Loke berhubung kos majlis rumah terbuka Hari Raya di Seri Perdana, bulan lepas tidak dijawab.

Menegaskan bahawa beliau tidak mempertikaikan hak perdana menteri untuk menganjurkan sebarang acara rasmi, kata Anthony, Parlimen sebagai simbol kepada demokrasi bagaimanapun perlulah menjadi wadah untuk ahli Parlimen mendapatkan butiran mengenai perbelanjaan negara.

“Fungsi Parlimen adalah mempersoalkan dan memantau sebarang perbelanjaan daripada perdana menteri ataupun menteri. Ini fungsi Parlimen!” tegasnya dalam sidang media di lobi Parlimen, sebentar tadi.

Katanya yang juga Setiausaha Organisasi DAP, situasi Parlimen kini banyak berubah berbanding dahulu, apabila jawapan yang diberikan daripada pihak kerajaan adalah tidak memuaskan selain tidak menepati soalan yang dikemukakan.

“Parlimen pernah menjawab soalan seperti ini dahulu, beberapa tahun lepas saya juga pernah tanya soalan yang sama berkenaan kos penganjuran rumah terbuka Aidilfitri, dijawab oleh (Datuk Seri) Shahidan Kassim. Pada tahun 2013 kosnya RM2.88 juta.

“Saya nak mengetahui sama ada selepas beberapa tahun adakah kos ini meningkat dan sama ada ia berpatutan. Apakah yang dimaksudkan ‘sederhana’ (dalam jawapan bertulis Parlimen oleh Azalina). Kami sebagai ahli Parlimen berhak untuk mempersoalkan.

“Tapi, nampaknya sekarang ini, satu trend baru di Parlimen (apabila) apa-apa persoalan mengenai perdana menteri, sama ada kos jet peribadi dia ataupun kos Rosmah pergi ke London atau penganjuran rumah terbuka Aidilfitri, tidak boleh dipersoal,” ujarnya.

Justeru, Anthony menggelar Azalina yang juga Ahli Parlimen Pengerang sebagai menteri hal ehwal Parlimen terburuk dalam sejarah negara ekoran gagal menjawab persoalan secara telus dan tepat.

“Saya nak bagitahu dia (Azalina), kalau dia tak nak jawab soalan, tak payah jadi menterilah, lebih baik dia letak jawatan daripada menjadi menteri yang menjaga Parlimen,” tegasnya.

Dalam jawapan bertulis Parlimen bertarikh 25 Julai tersebut, Azalina sekadar menyatakan bahawa kos rumah terbuka Hari Raya di Seri Perdana diletakkan di bawah elaun hiburan perdana menteri dan kos berkenaan adalah ‘sederhana’ meskipun Anthony menuntut kos terperinci. – Roketkini.com