Berita

Keputusan rayuan pendakwaan terhadap Pengerusi Bersih 2.0 Sabah diketahui esok

KOTA KINABALU, 27 JULAI: Keputusan rayuan pendakwaan terhadap Pengerusi Bersih 2.0 Sabah, Jannie Lasimbang di bawah Akta Perhimpunan Aman 2012 (Akta 736) akan diketahui esok.

Keputusan itu yang akan disampaikan Hakim Hakim Mahkamah Tinggi Kuching, Sarawak, Datuk Yew Jen Kie itu dibuat ekoran rayuan Pendakwaraya pada 17 Jun lalu.

Dalam penghakiman terdahulu pada Disember 2016, Jannie didapati tidak bersalah dan bebas dari dua pertuduhan di bawah akta tersebut melibatkan Seksyen 9(5), iaitu gagal menyerahkan notis 10 hari dan Seksyen 15(3) iaitu menganjurkan himpunan tanpa memenuhi syarat yang ditetapkan Ketua Polis Kota Kinabalu.

Menerusi rakaman video yang dimuat naik di Facebook, Jannie berharap keputusan yang akan disampaikan esok akan memihak kepada kebebasan berhimpun sebagaimana yang dijamin Perlembagaan.

“Pada 28 Julai ini (esok) keputusan rayuan kes saya berhubung penganjuran perhimpunan menuntut pilihan raya bersih dan adil akan diketahui di Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu.

“Saya berharap dan berdoa supaya hakim akan buat keputusan berpandukan Perlembagaan yang membenarkan kebebasan untuk berhimpun.

“Saya percaya keputusan itu akan memberikan mesej bahawa kita di Malaysia berpegang pada demokrasi, kepada hak asasi manusia,” katanya.

Beliau yang juga yang juga Ketua Wanita DAP Sabah mengucapkan penghargaan dan terima kasih kepada semua pihak yang menyokongnya selama ini.

Jannie merupakan individu pertama didakwa di bawah Akta Perhimpunan Aman ekoran perhimpunan aman Bersih 4 yang turut berlangsung di Kota Kinabalu .

Selain beliau, Pengerusi Bersih 4.0, Maria Chin Abdullah turut berdepan dengan pedakwaan mengikut akta yang sama pada November 2015.

Bagaimanapun, pertuduhan terhadap Maria telah dibatalkan Mahkamah Rayuan Kuala Lumpur pada 3 September 2016. –Roketkini.com