Berita

1MDB: Gobind minta keputusan speaker dibahaskan dalam sidang Dewan Rakyat

KUALA LUMPUR, 28 JUL: Speaker Dewan Rakyat diminta agar membenarkan usul bagi menyemak keputusannya menolak soalan berkaitan skandal 1MDB dibentangkan.

Ahli Parlimen Puchong, Gobind Singh Deo berkata, ia perlu dibahasakan dalam sidang Dewan Rakyat bagi menentukan sama ada keputusan itu tepat atau sebaliknya.

“Speaker perlu meluluskan usul saya itu untuk dibahaskan di Dewan Rakyat dan saya bersedia untuk menyakinkan beliau bahawa beliau salah,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Gobind yang juga Ketua Biro Undang-undang DAP memfailkan usul berkenaan pada Rabu lepas.

Speaker dalam sidang Dewan Rakyat pada Isnin lepas menolak lebih 30 soalan berkaitan 1MDB dengan pelbagai alasan tidak munasabah.

Jabatan Keadilan (DOJ) Amerika Syarikat mengeluarkan beberapa siri saman bagi merampas berbilion-bilion aset yang dipercayai dibeli menggunakan dana 1MDB yang dicuri.

Antara soalan Gobind yang ditolak adalah mengenai status siasatan oleh polis berhubung 1MDB dengan alasan “perkara yang belum menjadi masalah”.

Sedangkan, menurut pemimpin DAP itu, Malay Mail Online pada 12 April lepas melaporkan bahawa Ketua Polis Negara sudah menyerahkan kertas siasatan kepada peguam negara.

“Bermakna memang ada siasatan dijalankan. Jadi mengapa soalan itu ditolak dengan alasan ‘perkara yang belum menjadi masalah?’” soalnya. – Roketkini.com