Berita

Keputusan mahkamah terhadap bekas Pengerusi Bersih 2.0 Sabah ditangguh lagi

KOTA KINABALU, 28 JUL: Keputusan rayuan Pendakwa Raya terhadap bekas Pengerusi Bersih Sabah 2.0, Jannie Lasimbang di bawah Akta Perhimpunan Aman 2012 (Akta 736) yang sepatutnya diputuskan hari ini, 28 Julai 2017 ditangguhkan kepada 25 Ogos hadapan.

Penangguhan itu telah dimaklumkan oleh Bersih Sabah dalam kenyataan yang dikeluarkan lewat Khamis malam.

“Bersih Sabah akan terus memberikan sokongan kepada Jannie dan mengharapkan agar beliau bebas dari pendakwaan.

“Kemenangan Jannie Lasimbang adalah kemenangan rakyat yang inginkan hak untuk berhimpun secara aman tanpa diganggu oleh mana-mana pihak terutamanya pihak polis,” kata Bersih Sabah.

Sementara itu, Jannie ketika dihubungi Roketkini sebentar tadi berharap agar keputusan 25 Ogos hadapan akan positif terhadap kebebasan berhimpun yang dijamin Perlembagaan.

“Saya berasa yakin hakim akan membuat keputusan sebagaimana yang telah ditetapkan undang-undang dan perlembagaan yang menjamin hak berhimpun.

“Bagi saya, apa yang kita buat adalah pertahankan hak yang dijamin oleh Perlembagaan,” katanya.

Keputusan rayuan pendakwaan terhadap Pengerusi Bersih 2.0 Sabah, Jannie Lasimbang di bawah Akta Perhimpunan Aman 2012 (Akta 736) akan diketahui esok.

Keputusan sepatutnya yang diberikan hari ini oleh Hakim Mahkamah Tinggi Kuching, Sarawak, Datuk Yew Jen Kie itu dibuat ekoran rayuan Pendakwaraya pada 17 Jun 2017.

Dalam penghakiman terdahulu pada Disember 2016, Jannie didapati tidak bersalah dan bebas dari dua pertuduhan di bawah akta tersebut melibatkan Seksyen 9(5), iaitu gagal menyerahkan notis 10 hari dan Seksyen 15(3) iaitu menganjurkan himpunan tanpa memenuhi syarat yang ditetapkan Ketua Polis Kota Kinabalu. –Roketkini.com