Berita

ROS minta tambah ‘Pakatan’ dalam logo HARAPAN

PUTRAJAYA, 28 JUL: Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) meminta agar Pakatan Harapan (HARAPAN) melakukan sedikit perubahan dalam logo yang dirangka sebelum ini.

Perkara itu disampaikan Pengerusinya, Tun Dr Mahathir Mohamad selepas beliau bersama beberapa pemimpin gabungan itu menyerahkan salinan permohonan pendaftaran HARAPAN kepada agensi terbabit.

“Kami sudah menghantar permohonan secara atas talian. Tetapi, hari ini kami berada di sini untuk menyerahkan salinan permohonan kepada ROS.

“Mereka (ROS) berpendapat bahawa logo ini tidak sesuai kerana ia tidak memberi nama penuh pakatan ini. Mereka mahu supaya kita sebut kedua-dua perkataan iaitu Pakatan Harapan.

“Dan kita akan membuat logo yang baru, simbol yang baru dan kita akan kemukakan semula kepada mereka,” katanya kepada pemberita di pejabat ROS di sini hari ini.

Katanya lagi, ROS setakat ini tidak mendapati sebarang masalah daripada segi perlembagaan HARAPAN dan akan menunggu keputusan agensi berkenaan.

“ROS akan kaji (perlembagaan HARAPAN) dan akan memberitahu keputusan mereka,” ujarnya.

Beliau yang juga Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) berkata, kelulusan awal bagi permohonan tersebut amat penting bagi persiapan untuk menghadapi pilihan raya umum akan datang.

“Kalau logo ini tidak diluluskan, sukar bagi kita untuk mengeluarkan sepanduk, poster, baju dan bendera dan sebagainya. ROS nampak ambil perhatian terhadap perkara ini.

“Jadi harapan kita ialah kita akan dapat kelulusan ini secepat mungkin,” katanya sambil menambah HARAPAN akan menyediakan logo baru dalam tempoh dua hari. – Roketkini.com