Berita

Dedah kad pengenalan Tun M, DAP mahu Parlimen bertindak ke atas Zahid Hamidi

KUALA LUMPUR, 31 JUL: DAP hari ini menzahirkan rasa kesal terhadap tindak tanduk Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang secara sesuka hati membocorkan data peribadi bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Zahid dalam ucapan penutup Mesyuarat UMNO Kelana Jaya seperti dilapor media semalam mendedahkan nama tokoh negarawan itu dalam Kad Pengenalan Biru ialah “Mahathir anak lelaki Iskandar Kutty”.

Zahid juga dilihat cuba merendah-rendahkan dan menghina susur galur keturunan tokoh negarawan itu dengan berkata “Patut lah dia kata kita mudah lupa. Sebab dia anak laki-laki Iskandar Kutty.”

Ekoran itu, Ahli Parlimen Kulai, Teo Nie Ching mahu supaya satu usul tergempar di Parlimen dibuat kepada Yang di-Pertua Dewan, Tan Sri Pandikar Amin Mulia supaya kerajaan memberi justifikasi terhadap tindakan Zahid tersebut.

“Saya telah mengemukakan usul tergempar kepada Speaker mengenai tindakan Zahid yang mendedahkan kad pengenalan Tun Mahathir secara terbuka kepada orang awam.

“Ya, dia Menteri Dalam Negeri, tetapi dia tidak ada hak untuk mendedahkan maklumat peribadi yang terdapat dalam kad pengenalan. Sama ada maklumat itu tepat atau tidak ia bukan isu.

“Saya fikir sebagai menteri dia (perlu) menghormati terhadap tindakan melindungi data peribadi,” katanya dalam sidang media di parlimen hari ini.

Kenyataan Zahid menghina Tun Mahathir itu turut ditegur Datin Paduka Marina Mahathir, anak perempuan Pengerusi Parti Pribumi Malaysia (PPBM) tersebut.

Menurutnya, kenyataan Zahid itu bukan sahaja salah tetapi juga bersifat perkauman dan seksis lapor Free Malaysia Today.

“Ia sepatutnya Mahathir bin Mohamad. Nama datuk saya ialah Mohamad bin Iskandar,” katanya.

Marina berkata, datuknya Mohamad Iskandar ialah pengetua Melayu pertama di Kolej Sultan Abdul Hamid, Alor Setar manakala moyangnya (ibu kepada Tun Mahathir) iaitu Wan Tempahwan berasal daripada keluarga orang istana kerabat diraja Kedah. – Roketkini.com