Berita

ROS lembab, kenapa sudah sepuluh hari masih belum jawab surat DAP?

KUALA LUMPUR, 31 JUL: Jabatan Pendaftaran Pertubuhan perlu menjelaskan kenapa ia masih belum memberi maklumbalas kepada surat yang telah di hantar kepada jabatan itu pada 21 Julai lalu berkenaan pemilihan semula Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) DAP.

Ketua Biro Undang-Undang DAP, Gobind Singh Deo melahirkan kehairanan dan kesal mengapa jabatan itu begitu lembab dalam memberi maklumbalas terhadap perkara berkaitan DAP.

“Saya minta ROS menjelaskan kenapa masih terus berlengah-lengah terhadap perkara berkaitan DAP. Mula-mula, mereka ampil empat tahun buat keputusan, kemudian, ambil masa 10 hari untuk keluarkan surat maklumkan kita mengenai keputusan itu (pemilihan semula). Sekarang masih lagi bertangguh-tangguh.

“Kelewatan ini menimbulkan prejudis kepada kami. Kami tak boleh teruskan pemilihan semula tanpa sebarang maklum balas dari ROS. Jadi saya mohon kepada ROS supaya professional dan hentikan tanggu-tangguh ini, sila hantar kami maklumbalas tanpa sebarang penangguhan lagi,” katanya dalam sidang medianya di Parlimen sebentar tadi.

Pada 21 Julai lalu, DAP telah menyatakan kesediaannya untuk mengadakan pemilihan semula Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) secara protes terhadap arahan Jabatan Pendaftar Pertubuhan (ROS).

Pendirian tersebut dinyatakan melalui surat serahan tangan ditandatangani Naib Pengerusi Kebangsaan Teresa Kok di pejabat ROS dan telah diterima oleh Penolong Pengarah Bahagian Pematuhan, Mohamad Nawawi bin Mat.

“Walaubagaimanapun, memandangkan keputusan ini diberi kepada kami pada waktu di mana PRI-14 mungkin akan diadakan pada bila-bila masa, maka DAP bersedia untuk mengadakan pemilihan semula jawatankuasa tertinggi (CEC) parti di bawah protes dan tanpa menjejaskan sebarang hak kami untuk mengambil tindakan perundangan sekiranya perlu, pada bila-bila masa”, kata Teresa Kok membacakan surat itu.

Terlebih dahulu, ROS pada 7 Julai lalu dalam satu kenyataan media tanpa memberi sebarang notis kepada DAP mengeluarkan arahan DAP supaya mengadakan pemilihan semula Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) yang baharu.

Isu ini tercetus kembali setelah ditimbulkan oleh Setiausaha Akhbar Perdana Menteri, Datuk Tengku Sariffuddin ketika cuba mematahkan analisis DAP terhadap majikannya. – Roketkini.com