Berita

SUPP-BN diminta jangan politikkan isu rabies

KUCHING, 31 JUL: Parti komponen Barisan Nasional (BN)-SUPP diminta agar tidak mempolitikkan penularan rabies di Sarawak sebaliknya perlu segera mengambil tindakan bersepadu membendung wabak itu.

Gesaan ini dibuat Pembantu Khas, Ahli Parlimen Bandar Kuching, Abdul Aziz Isa dalam satu kenyatan selepas menghadiri sesi penerangan anjuran Jabatan Kesihatan dan Persatuan Vertinari Sarawak di masjid Al-Abyad, Matang Jaya, dekat sini malam tadi.

“Setahu saya DAP tidak mempolitikkan isu ini, SUPP-BN yang mempolitikkannya.

“Speaker dewan rakyat yang telah menghalau Ahli Parlimen Stampin, Julian Tan keluar dewan kerana bertanya mengenai kekurangan vaksin anti-rabies. Adakah salah jika beliau menyuarakan kebimbangan rakyat yang diwakilinya?” soalnya dalam kenyataan.

Beliau menjawab tuduhan Setiausaha Politik Ketua Menteri Sarawak, Tan Kai yang turut hadir dalam sesi penerangan itu kononnya DAP telah ‘mempolitikkan’ isu rabies.

Aziz Isa dan Tan Kai (baju kuning) dalam sesi penerangan wabak rabies anjuran Jabatan Kesihatan dan Persatuan Vertinari Sarawak di masjid Al-Abyad, Matang Jaya malam tadi.

Ia ekoran tindakan Speaker Dewan Rakyat minggu lalu menghalau Ahli Parlimen Stampin, Julian Tan keluar dewan apabila menyuarakan kebimbangan rakyat mengenai kekurangan vaksin anti-rabies yang berlaku.

“Sebagai Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri Sarawak, Tan Kai sepatutnya menasihati bosnya Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan merangkap Presiden SUPP, Datuk Dr Sim Kui Hian untuk mengarahkan semua lima pihak berkuasa tempatan di kawasan Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS), Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU), Majlis Perbandaran Padawan (MPP), Majlis Daerah Bau (MDB) dan Majlis Perbandaran Samarahan (MPS) memanggil mesyuarat tergempar mengenai anjing liar dan bukannya menyalahkan DAP,” kata Aziz.

Setiausaha Publisiti DAPSY Petra Jaya itu mendakwa, walaupun banyak aduan tentang anjing liar dilaporkan penduduk kepada pihak berkuasa tempatan di beberapa kawasan majlis daerah dan perbandaran, tiada tindakan konkrit diambil.

Menurutnya, memandangkan DAP bukan parti pemerintah, ia tidak mempunyai sebarang kuasa eksekutif di peringkat negeri mahupun persekutuan untuk membuat sebarang keputusan.

“Bagaimanapun, DAP ada tugas penting iaitu menyuarakan kebimbangan masyarakat. Mereka (kerajaan) sepatutnya membenarkan Ahli-Ahli Parlimen DAP membincangkannya di Parlimen,” katanya.

“Apabila DAP mempersoalkan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan merangkap Presiden SUPP, Datuk Dr Sim Kui Hian mengenai kekurangan vaksin anti-rabies, beliau menyalahkan Kementerian Kesihatan.

“Tetapi, kenyataannya itu dtelah dinafikan oleh Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan sendiri. Adakah Dr Sim cuba lagi dari menjalankan tanggungjawabnya?” soal Aziz.

Berbeza dengan Kerajaan Pakatan Harapan Pulau Pinang, Aziz berkata Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng telah mengambil langkah segera berhubung perkara terbabit dan tiada kematian direkodkan berlaku di negeri tersebut.

Bagaimanapun, Sarawak telah mencatatkan kematian lima orang akibat penularan wabak rabies dalam tempoh kurang tiga bulan.

“Ini menunjukkan kelemahan pihak berkuasa menjalankan tanggungjawab mereka,” katanya lagi. -Roketkini.com