Berita

Enggan teruskan siasatan 1MDB, PAC dan Ketua Audit dituduh boneka Najib

KUALA LUMPUR, 1 OGOS: Keputusan dua agensi kerajaan untuk tidak meneruskan siasatan lanjut ke atas skandal melibatkan firma pelaburan milik negara, 1MDB membuktikan bahawa mereka hanyalah boneka kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua berkata demikian merujuk keengganan Ketua Audit Negara, Tan Sri Madinah Mohamad dan Pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC), Datuk Seri Hasan Arifin untuk melakukan siasatan lanjut ke atas 1MDB.

Namun, katanya, keputusan itu bukanlah sesuatu yang mengejutkan meskipun pelbagai pendedahan terus dibuat Jabatan Keadilan (DOJ) Amerika Syarikat dalam usaha untuk mengembalikan aset yang dibeli melalui hasil wang yang dicuri daripada 1MDB.

“Lagipun, sebelum ini telah didedahkan bahawa suami Madinah yang merupakan Ketua Bahagian UMNO Kepong, Datuk Rizuan Abdul Hamid telah secara terbuka menyatakan kesetiaan kepada Najib sehingga beliau berkata bahawa beliau ‘rela mati untuk Najib’.

“Hasan Arifin pula apa kurangnya, apabila mengaku harus ‘cari makan’ ketika diasak supaya dihadapkan Najib ke PAC bagi tujuan siasatan,” katanya yang juga Setiausaha Publisiti DAP dalam kenyataan, hari ini.

Menurut Pengerusi DAP Selangor itu lagi, tindakan kedua-dua pegawai atasan itu amat dikesali malah membelakangi kepentingan rakyat yang mahukan kebenaran dalam skandal berkenaan selain sanggup menjadi pengkhianat kepada bangsa, agama dan tanah air.

“Jika mereka ada sekelumit rasa malu dalam diri mereka, mereka patut melepaskan jawatan masing-masing dan memberikannya kepada yang benar-benar mahu bekerja untuk kepentingan rakyat Malaysia,” ujarnya.

DOJ dalam dokumen saman sivilnya sebelum ini mendedahkan secara terperinci bagaimana AS$732 juta (RM3.1 bilion) mengalir masuk ke akan peribadi Perdana Menteri di antara tahun 2011 dan 2014. – Roketkini.com