Berita

Kerajaan gagal bayar hutang IPIC setelah belanja gula-gula pilihan raya

KUALA LUMPUR, 1 OGOS: Kerajaan Malaysia di bawah pentadbiran UMNO dilaporkan media gagal membayar sejumlah AS$602.75 juta (RM2.58 bilion) hutang kepada International Petroleum Investment Co (IPIC) pada waktu yang ditetapkan iaitu pada tengah hari tadi.

Jumlah bayaran tersebut adalah separuh daripada jumlah keseluruhan hutang kerajaan kepada IPIC iaitu AS$1.2 bilion – yang terkumpul akibat daripada skandal membabitkan firma pelaburan negara, 1MDB – setelah penyelesaian dicapai kedua-dua belah pihak pada 24 April lepas.

Namun yang menjadi persoalan kini adalah bagaimana kerajaan akan membayar segala hutangnya kepada IPIC sementara sejumlah besar dana kerajaan telah dibelanjakan sebagai ‘gula-gula’ untuk memancing undi dalam pilihan raya umum akan datang.

“Persoalannya: Dari mana lagi Kerajaan UMNO akan mendapatkan wang untuk melunaskan bayaran tersebut, dalam keadaan ia tidak mampu membayar hutang namun gigih menabur gula-gula pilihanraya?” soal Ahli Parlimen Segambut, Lim Lip Eng dalam kenyataan, hari ini.

Persoalan itu timbul, berikutan semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, katanya, mengumumkan “skim membeli sokongan” dengan menabur sejumlah wang kepada veteran angkatan tentera yang dikenali sebagai skim ‘Bantuan Bakti Negara’.

“‘Skim’ ini menawarkan beberapa gula-gula kepada pesara tentera, termasuklah bantuan kewangan dan tambahan kuota jemaah haji,” katanya yang juga Setiausaha DAP Wilayah Persekutuan.

“Ini selepas mengumumkan ‘skim’ untuk peneroka Felda dalam pakej berjumlah lebih RM400 juta. Juga tidak lain merupakan gula-gula pilihan raya, tidak kiralah bagaimana pun mereka menafikannya.”

Lip Eng justeru menggesa agar Najib Razak menjelaskan mengapa Kementerian Kewangan yang di bawah kawalannya gagal untuk menepati tarikh luput bayaran terhadap IPIC.

“Kalau itu pun beliau tidak boleh buat, biarlah sang panglima Bugis berundur, dan benarkan panglima Jawa mengambil alih,” katanya yang merujuk kepada keturunan Najib dan Zahid. – Roketkini.com