Berita

Pembalakan berleluasa di hutan Bukit Pantai Segari, kerajaan Perak jangan membisu

MANJUNG, 1 OGOS: Kerajaan Negeri Perak diminta mengemukakan jawapan secara telus mengenai jumlah pendapatan yang diperoleh menerusi kegiatan pembalakan di kawasan hutan simpan kekal negeri itu dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) 8 Ogos hadapan.

Gesaan ini dibuat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Remis, Wong May Ing ekoran aktiviti pembalakan yang diluluskan di Hutan Bukit Pantai, Segari seluas 80 ekar yang menimbulkan beberapa persoalan.

ADUN Pantai Remis, Wong May Ing

Antaranya melibatkan ketelusan meluluskan permohonan pembalakan, jumlah pendapatan yang diperolehi dan usaha penanaman semula hutan.

“Sidang Dewan Undangan Negeri akan diadakan pada 8 Ogos dan saya telah mengemukakan soalan-soalan mengenai hutan simpanan kekal. Soalan-soalan saya termasuk bilangan lesen yang diluluskan, jumlah pendapatan yang kerajaan negeri perolehi dan bilangan kes pembalakan haram,” katanya dalam kenyataan.

Menerusi lawatan tapak yang dijalankan, May Ing berkata sebahagian kawasan cerun di hutan berkeluasan 4,450.43 hektar itu telah gondol.

“Penduduk setempat berkata bahawa tanah tersebut diluluskan untuk pembangunan beberapa tahun lalu.

“Selepas pokok ditebang, tempat tersebut dibiarkan lapang dan kegiatan penanaman semula hutan tidak dijalankan,” katanya.

Beliau yang juga Penolong Publisiti DAP Perak melahirkan kebimbangan berlakunya bencana tanah runtuh terhadap permukaan cerun yang tidak diliputi tumbuhan sekiranya berlaku hujan lebat.

“Kini terdapat keretakan yang cukup panjang dan lebar di tebing bukit. Selain itu, beliau mendapati terdapat longgokan kayu balak berdekatan Sungai Batu.

“Notis yang dipaparkan menyatakan bahawa kegiatan pembalakan mendapat kelulusan Jabatan Perhutanan Negeri bagi tempoh enam bulan, iaitu Mac hingga September,” katanya.

Dalam perkara berkaitan, beliau turut mencadangkan kepada Jabatan Perhutanan Negeri supaya ekosistem hutan tersebut dipulihara semula sekaligus menjadi kawasan riadah penduduk setempat dan eko-pelancongan.

“Melalui kegiatan mendaki bukit, penduduk juga boleh mengenali flora dan fauna serta ekosistem hutan simpan.

“Saya akan menghubungi Jabatan Perhutanan Negeri untuk mengemukakan cadangan ini,” katanya lagi. – Roketkini.com