Rencana

Pemuda Umno bacul, hilang ‘roh’ Melayu

Kononnya, mahu mengelak berulangnya insiden seorang aktivis menurunkan bendera dengan imej Datuk Seri Najib Razak di luar ibu pejabat Umno yang pernah terjadi pada Disember 2011.

Kononnya, mereka diprovokasi dengan pelbagai sepanduk yang dirasakan sebagai biadap sehingga menyebabkan kejadian tolak-menolak antara kedua-dua kumpulan sehingga terpaksa membabitkan campur tangan pihak polis.

Kononnya, Exco Pemuda Umno, Datuk Armand Azha Hanifah menerima ancaman sebelum sekumpulan anggota Pemuda Parti Pribumi Bersatu (ARMADA) hadir bagi menghantar jemputan kepada Najib untuk menghadiri forum Nothing To Hide 2.0.

Hakikatnya, sama ada sedar atau tidak, Pemuda Umno telah menunjukkan bahawa mereka bacul serta roh Melayu yang meresapi susuk tubuh mereka telah semakin lenyap.

Mereka bacul kerana membawa ratusan pengikutnya untuk berdepan dengan puluhan ‘lawan’ yang hanya bersenjatakan surat dan sepanduk semata-mata.

Mereka bacul kerana mencetuskan gegak gempita dalam insiden berkenaan yang sepatutnya bukan sahaja berlangsung dalam suasana aman lagi tenteram malah menjadi medan untuk menunjukkan siapa lebih Melayu dengan gaya budaya yang sebenar.

Tertib, adat budaya Melayu

Sebagai orang Melayu, Ketua Pemuda Umno Wilayah Persekutuan, Datuk Razlan Rafii tentunya faham cara, tertib dan adab untuk menyambut kedatangan ‘tetamu’ walaupun datangnya tidak diundang.

Bagi orang Melayu, walaupun tidak disukai atau tidak dijemput kedatangan, tetamu walaupun dari kalangan musuh akan tetap disambut dengan cara serta adab yang baik.

Itu budaya Melayu, sementelah Pemuda Umno sedia maklum bahawa kedatangan Pemuda ARMADA ke ‘rumahnya’ itu adalah bertujuan sekadar menghantar jemputan buat Najib untuk menghadiri sebuah forum.

Apa perlunya meniupkan semangat ‘pertahankan, bangkit lawan’ sebelum berlakunya pertembungan tersebut jika mengamalkan budaya Melayu yang penuh sopan-santun, berabad lagi berhemah serta diresapi nilai-nilai murni yang cukup tinggi nilainya.

Sepatutnya, Razlan bersama para pengikutnya sekadar menunggu ‘ketibaan’ para ‘tetamu’ tersebut tanpa perlu membawa pembesar suara, memutarkan rakaman ceramah Presiden AMANAH Mohamad Sabu atau melaungkan ‘Baliklah’.

Juga, budaya Melayu juga tidak memerlukan Pemuda Umno untuk menunjukkan ‘kejantanannya’ dalam kejadian seperti itu.

Yang sepatutnya berlaku

Apa yang sepatutnya, mereka hanya perlu menghulurkan tangan untuk bersalaman, menerima surat jemputan dan mungkin boleh memberikan komitmen kepada Pemuda ARMADA untuk menyerahkan surat tersebut kepada Najib.

Pastinya Pemuda ARMADA juga berpuas hati dengan layanan sedemikian kerana matlamat mereka untuk menyampai surat jemputan itu berjaya dilaksanakan dan mempamerkan budaya Melayu yang sedondon dengan baju tradisional yang dipakainya.

Mudah, ringkas dan harmoni selain mampu mempamerkan budaya Melayu sebenar yang cukup tinggi nilainya jikalau itulah tindakan yang diambil oleh Razlan dan pengikutnya dalam mendepani kedatangan Pemuda ARMADA tempoh hari.

Jika perkara sekecil itupun tidak boleh didepani oleh Pemuda Umno, maka sahlah jiwa, roh Melayu dalam tubuh badan Pemuda Umno semakin hilang dan kemungkinan digantikan dengan budaya samseng yang ditunjangi keangkuhan dan kesombongan selaku parti pemerintah nombor satu negara.

Ingatlah, Pemuda Umno adalah sayap belia dalam Umno, sebuah parti yang mendakwa sebagai institusi pembela, mempertahankan bangsa Melayu yang seharusnya mempamerkan budaya Melayu yang sebenar, bukan budaya samseng tidak tentu halanya.

Kalau terus mempamerkan budaya samseng, pemimpin Umno yang lain terutama Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi diharap tidak terus mempergunakan nama Melayu dalam perjuangan serta tidak mengungkit keturunan pemimpin lain untuk menjuarai keMelayuannya. – Roketkini.com

*Amran yang menyertai DAP sejak 2009 adalah anak bongsu arwah Ahmad Nor, bekas naib pengerusi DAP.