Rencana

Gagal bayar hutang IPIC bukti penipuan dan penyelewengan 1MDB

1MDB telah mengumumkan bahawa ia gagal membayar hutang International Petroleum Investment Corporation (IPIC) mengikut jadual yang telah dipersetujui antara kedua-dua pihak dalam penyelesaian mahkamah timbangtara pada 24 April 2017.

1MDB memberikan alasan bahawa “1MDB masih lagi menunggu dana yang sepatutnya diterima pada Julai 2017. Berikutan keperluan mendapatkan kelulusan kawal selia tambahan (‘additional regulatory approvals’), penerimaan dana itu ditangguhkan kepada Ogos, 2017.”

Menurut kenyataannya sebelum ini yang bertarikh 24 April, 1MDB berkata “these obligations will be met by 1MDB, primarily via monetization of 1MDB-owned investment fund units”. Ini bermaksud bahawa bayaran pertama berjumlah US$602,725,000 (RM2.58 bilion) sepatutnya dibayar pada tengahari semalam dengan wang penebusan pelaburan ‘unit’ 1MDB.

Adalah jelas bahawa 1MDB telah gagal menebus pelaburan ‘unit’nya sejak hujung tahun 2014 hingga hari ini walaupun pihak pengurusan utama 1MDB telah berkali-kali berjanji kepada Lembaga Pengarah 1MDB bahawa pelaburan tersebut akan ditebus.

Malangnya, kegagalan 1MDB untuk menebus ‘pelaburan’ ‘unit’ tersebut tidak lagi memeranjatkan kerana para pelabur Malaysia dan antarabangsa telah lama mengesyaki bahawa ‘pelaburan’ tersebut sama ada tidak wujud atau merupakan satu kepalsuan.

Kes saman Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DOJ) terkini bertarikh 15 Jun telah mendedahkan secara terperinci bahawa ‘unit-unit’ tersebut yang sebelum ini diurus oleh syarikat pelaburan di Cayman Islands merupakan pelaburan palsu untuk menyembunyikan penyelewengan wang 1MDB yang sepatutnya dilabur bersama Petrosaudi International Limited. (Mukasurat 45-51 dokumen saman DOJ)

Apatah lagi Bank BSI di Singapura yang merupakan bank pemegang amanah (“custodian bank”) pelaburan ‘unit’ tersebut telah ditarik lesen perbankannya oleh pihak berkuasa Singapura kerana memudahkan pengubahan wang haram yang berpunca daripada 1MDB. Umum tidak mengetahui siapa atau Bank mana yang sebenarnya menjadi bank pemegang amanah pelaburan tersebut kerana segala soalan berkaitan dengan ‘unit’ ini tidak dijawab di Dewan Rakyat, malah soalan-soalan berkait 1MDB ditolak Speaker Dewan Rakyat.

Apa yang jelas sekarang ialah pengesahan DOJ bahawa pelaburan ‘unit’ tersebut telah menjejaskan segala percubaan dan tindakan 1MDB dan Kementerian Kewangan untuk terus ‘menutup’ penipuan dan penyelewengan pelaburan 1MDB.

Jika benar ada pihak yang sedang diatur untuk ‘membeli’ ‘unit’ tersebut daripada 1MDB, bank yang terlibat untuk menyalurkan pembayaran akan membuat siasatan ke atas transaksi ini supaya tidak terperangkap dalam skim pengubahan wang haram. Oleh kerana kesemua bank seluruh dunia telah diberi amaran supaya berwas-was dengan segala transaksi yang melibatkan 1MDB, terutamanya pelaburan ‘unit’ palsunya, 1MDB terpaksa memberi alasan bahawa ‘kelulusan kawal selia tambahan’ diperlukan.

Kegagalan 1MDB dan Kementerian Kewangan untuk menepati janji kepada syarikat kerajaan Abu Dhabi dalam satu penyelesaian yang telah direstui Mahkamah Timbangtara di London merupakan satu perkara yang bukan sahaja amat memalukan negara, tetapi juga membuktikan bahawa penyelewengan yang ketara telah berlaku di bawah pimpinan Dato’ Sri Najib Razak.

Pakatan Harapan menyeru agar Bank Negara Malaysia, Polis DiRaja Malaysia dan Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia segera menjalankan siasatan selanjutnya berkaitan isu ini dengan lebih telus, cekap, cepat dan paling penting sekali, bersungguh-sungguh supaya kepentingan rakyat dapat diutamakan.

YB Tony Pua
Ketua Penerangan Pakatan Harapan
Setiausaha Publisiti Kebangsaan DAP

Fahmi Fadzil
Pengarah Komunikasi KEADILAN

YB Khalid Samad
Pengarah Komunikasi AMANAH

Dato’ Kamaruddin Md Noor
Ketua Penerangan PPBM

*Kenyataan media Biro Penerangan Pakatan Harapan