Berita

Lanjutan tempoh khidmat ketua hakim: Kit Siang beri Raus dan Zulkefli dua pilihan

KUALA LUMPUR, 3 OGOS: Pelanjutan tempoh perkhidmatan Ketua Hakim Negara Tan Sri Md Raus Sharif dan Tan Sri Zulkefli bin Ahmad Makinudin sebagai Presiden Mahkamah Rayuan dikhuatiri bakal mewujudkan krisis kehakiman.

Kebimbangan itu telahpun disuarakan Ahli-Ahli Parlimen dan pemimpin tertinggi Pakatan Harapan (HARAPAN) sehingga mendorong mereka menyerahkan warkah kepada DYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong berhubung pelantikan tersebut.

“Sekiranya perkara ini tidak ditangani segera, ianya akan mewujudkan satu krisis kehakiman kerana kesemua perbicaraan ataupun keputusan selepas 4 Ogos 17 akan menjadi tidak sah.

“Juga, sistem pentadbiran kehakiman yang juga dikendalikan oleh Ketua Hakim Negara akan menjadi cacat disebabkan bukan diuruskan oleh hakim yang sah di sisi perlembagaan,” kata warkah tersebut.

Justeru, Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang dalam kenyataannya hari ini berkata, terdapat dua pilihan yang boleh dilakukan Raus dan Zulkefli mereka tidak bersedia menolak pelanjutan tempoh perkhidmatan itu.

“Pertamanya, mengumumkan bahawa mereka akan menunggu keputusan Mahkamah Persekutuan tentang keperlembagaan pelanjutan tempoh khidmat masing-masing.

“Keduanya, menarik diri dari semua kes mahkamah yang melibatkan Datuk Seri Najib Razak sama ada sebagai Perdana Menteri, Presiden UMNO atau atas kapasiti peribadi, sepanjang tempoh pelantikan semula mereka sebagai Ketua Hakim Negara dan Presiden Mahkamah Rayuan,” katanya.

Pelanjutan tersebut juga turut menjejaskan peluang Hakim Besar dari Sabah dan Sarawak yang disandang Tan Sri Richard Malanjum untuk menduduki jawatan tersebut buat pertama kali dalam tempoh hampir enam dekad penubuhan Malaysia.

“Ia juga dilihat sebagai kegagalan kerajaan melaksanakan visi Malaysia sebagai Persekutuan di mana hak dan kepentingan Sabah dan Sarawak dihormati dan diiktiraf sepenuhnya,” katanya.

Menurutnya lagi, Malanjum merupakan hakim Mahkamah Persekutuan paling senior dalam negara ini merupakan bumiputera Sabah pertama perlu dilantik sebagai Ketua Hakim Negara.

Pelantikan Malanjum katanya selari dengan semangat Persekutuan dan memupuk perpaduan erat antara wilayah di Borneo itu dengan Semenanjung Malaysia. – Roketkini.com