Keputusan Kementerian Dalam Negeri (KDN) untuk meneruskan siri pengharaman buku adalah sesuatu yang membimbangkan. Kuasa yang bersumberkan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 ini benar benar menimbulkan persoalan mengapakah kerajaan begitu takut dengan penerbitan buku-buku tersebut.
Menurut laporan Malaysiakini pada 2 Ogos 2017, terdapat 4 buah buku hasil karya tempatan telah diharamkan melalui Perintah Mesin Cetak Dan Penerbitan (Kawalan Hasil Penerbitan Tidak Diingini). Antaranya buku bertajuk Hukum Barat Pun Islam, Konsep Kebebasan dan Agama, terjemahan karya sarjana antarabangsa Abdullahi Ahmad An-Naim Menuju Reformasi Perundangan Islam dan From Majapahit to Putrajaya: Searching for Another Malaysia.
Pengharaman ini secara tidak langsung telah membantutkan usaha anak tempatan untuk menterjemahkan hasil karya luar negara ke dalam bahasa Melayu. Bukan itu sahaja, kesemua buku yang diharamkan ini cenderung membincangkan wacana alternatif mengenai Islam yang cukup baik untuk difahami dan dijadikan rujukan.
Contohnya buku Breaking The Silence -Voices of Moderation – Islam is a Constitutional Democracy yang diterbitkan oleh G25 turut diharamkan walaupun secara jelas mesej yang disampaikan merupakan mesej melawan ektremis agama yang semakin lama semakin serius dalam masyarakat kita.Justeru, tindakan pengharaman ini akan memberikan satu mesej yang salah kepada masyarakat seolah-olah kerajaan Malaysia tidak serius dalam menangani ancaman ekstremis agama.
Lebih melucukan, alasan yang digunakan oleh kerajaan adalah kerana buku tersebut memudaratkan ketenteraman awam. Alasan umum ini sentiasa digunakan tanpa bukti yang kukuh apatah lagi kebanyakan buku yang diharamkan tersebut telah pun berada di pasaran lebih daripada setahun tanpa ada sebarang insiden yang memudaratkan. Contohnya, buku From Majapahit to Putrajaya: Searching for Another Malaysia yang telah berada di pasaran lebih 12 tahun. Pengharaman tanpa bukti yang kukuh ini merupakan satu tindakan yang melampaui batas perundangan dan wajar dicabar.
Saya menyeru agar KDN menarik semula pengharaman ini dan saya turut mencadangkan pihak-pihak yang terlibat dalam penerbitan berkenaan mengambil tindakan undang-undang terhadap KDN seperti mana yang telah dilakukan oleh SIS Forum (buku Muslim Women and the Challenges of Islamic Extremism), Zunar (buku 1 Funny Malaysia & Perak Darul Kartun) dan ZI Publication (buku Allah, Kebebasan dan Cinta) apabila buku-buku mereka mengalami nasib yang sama.
Setakat ini, Mahkamah telah membatalkan pengharaman buku tersebut kerana tiada alasan yang kukuh dan munasabah. Walaupun begitu, kerajaan Malaysia pimpinan Barisan Nasional masih berdegil dan terus mengharamkan buku-buku tersebut dengan alasanyang sama. Dan, perkara ini perlu dikecam untuk memastikan kerajaan tidak dilihat selesa menggunakan akta zalim ini untuk menindas dan membantutkan pemikiran rakyat.
*Farhan Haziq adalah Naib Ketua Sosialis Muda DAP (DAPSY) Subang